Mansur Al Hallaj
March 4, 2009Sejarah Jalan Kesufian
March 4, 2009Sepatah Kata.
Segala puji bagi Allah, Tuahn sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.
Selawat dan salam untuk cahaya bagi segala cahaya, rahsia bagi segala rahsia, pembuka pintu ilmu Ketuhanan, pelita hati,dan penawar sanubari iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan limpahkan juga rahmat kepada kaum keluarganya dan para sahabat sekelian.
Dengan taufik dan hidayah Allah jua dapatlah penulis menghuraikan dalam risalah ringkas ini sedikit penjelasan berkenaan perkara AKU menurut pandangan Falsafah Kesufian atau Falsafah Tasawuf untuk dijadikan bahan kajian, renungan dan kritikan para pembaca sekalian.
Aku yang dimaksudkan disini ialah diri iaitu diri kita sebagai manusia. Pandangan ini dari sudut Falsafah Kesufian (Philosophy of Sufism). Sekiranya betul pendapat ini maka itu dari Allah dan sekiranya tidak betul maka itu dari nafsu penulis sendiri. Jadi dengan itu, mana yang betul jadikan kajian dan mana yang salah diketepikan.
Paling baik lagi jika pembaca sekalian merujuk penjelasan dalam risalah ini kepada Ahli Ilmu ataupun dipanggil yang Mursyid iaitu mereka yang masak ilmunya dalam bidang Falsafah Kesufian agar dengan itu pembaca tidak teraba-raba akan maksud yang disampaikan dalam risalah ringkas ini.
Akhir kalam, penulis memohon keampunan Ilahi jika ada tersalah silap dalam risalah ini dan bersyukur kepadaNya jika tulisan ini betul dan benar. Kepada Allah aku kembalikan semua urusan.
PENDAHULUAN
Kita selalu merujuk diri kita seagai AKU. Kita berkata, “Ini Aku” , “Ini Aku punya”, “Ini badan Aku”, “Nama Aku si-anu”, dan “Nama bapa Aku si-anu”, dan sebagai nya.
Pernahkah kita terfikir siapakah AKU kita itu? Apakah AKU kita itu? Siapa sebenarnya AKU itu?
Maka disini penulis cuba untuk menghuraikan brkenaan AKU ini menurut pendapat dan pandangan Falsafah Kesufian (Philosophy of Sufism).
Buku atau risalah ini mengandungi penjelasan berkenaan AKU. Dari penerangan atau penjelasan ini pembaca akan dapat sedikit sebanyak maklumat tentang apa dan siapa sebenarnya AKU kita itu.
Selamat memaca dan memahaminya.
Penjelasan yang pertama.
Pernahkah anda terfikir siapakah AKU itu?
Pernahkah anda terbayang apakah AKU kita itu?
Sebenarnya AKU kita ini adalah ROH kita, bukan badan kasar ini. Badan kasar ini akan mati sekiranya tiada ROH. Sekiranya tiada ROH, badan kita akan hancur binasa.
ROH kita inilah diri kita yang sebenarnya,.ROH ini hidup dan tidak akan mati. ROH inilah juga zat diri kita.
ROH ini juga limpahan Yang Maha Hidup iaitu Allah SWT. Allah itu hidup. Dia mempunyai sifat hidup. Maka hidup(ROH) kita adalah limpahan dari hidup Allah itu.
ROH ini juga digelar “bayangan” Yang Maha Hidup itu. ROH itu bayang kepada Yang Empunya Bayang. Yang Empunya Bayang itu ialah Allah, dan ROH kita itu adalah “bayangan” Allah itu. Demikian pendapat-pendapat ahli-ahli Sufi.
Allah itu tidak kelihatan, Maha Ghaib dan tidak ada satupun yang seumpama denganNya. Bagaimana kita dapat tahu adanya sesuatu yang tidak kelihatan dan tidak terperikan. Ibarat angin, kita tidak nampak angin, tetapi bagaimana kita tahu angin sedang bertiup dan angin itu ada? Jawabnya, kita tahu adanya angin itu kerana ada kesannya. Bila daun pokok bergoyang, kita tahu angin sedang bertiup. Kalau kita rasa hembusan, maka itu adalah hembusan angin, sebagainya. Goyangan daun dan rasa hembusan itu adalah tanda-tanda adanya angin. Kita tidak nampak angina tetapi kita tahu adanya angina melalui tanda-tandanya.
Demikian jugalah keadaannya dengan Allah SWT. Kita tidak nampak DIa, tetapi kita rasa dan percaya adaNya melalui tanda-tandaNya. Tanda-tanda Allah itu ialah alam semesta raya ini. Tanda-tanda ini dalam bahasa Arab ialah “ayat”.
Oleh itu, alam semesta raya dan diri kita ini adalah ayat-ayat Allah belaka.
ROH sangat tinggi martabatnya, melebihi peringkat malaikat. Tempatnya disisi Allah yang Maha Tinggi. ROH inilah yang mengenang Allah (zikrullah) seolah-olah kerjanya mengenang Allah sahaja. Seolah-olah makan minumnya “zikrullah” sahaja.
ROH yang suci ini sentiasa mentauhidkan Allah Yang Maha Suci. Najis padanya iailah menyekutukan Allah. ROH ini sangat cinta kepada Allah SWT. Ia memuja dan memuji Allah sentiasa. Allah itu kekasihnya. Cukuplah Allah itu baginya.
Demikian perhubungan Allah dengan ROH, menurut pandangan ahli-ahli Sufi.
Penjelasan yang kedua
Tahukah anda bahawa AKU anda itu adalah ROH yang datang dari Allah, hidup dengan Allah, dan kembali kepada Allah. Allah itulah pengkalan tempat bertolak, lautan yang dilayari dan pelabuhan tempat berhenti.
Jika dikaji dalam-dalam anda akan sedar dalam pandangan kerohanian bahawa Allah itu adalah tempat permulaan perjalanan kita. Dialah tempat perjalanan itu sendiri, dan Allah itu jugalah destinasi akhir perjalanan hidup ini.
Tempat bertolak, perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan disini bukanlah dari segi pandangan fizikal yang tertakluk kepada ruang dan waktu. Tempat perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan di sini iailah dari segi pandangan rohaniah, perasaan dan khayali(thought) kita.
AKU atau ROH kita adalah tanda-tanda atau ayat-ayat Allah. ROH itu juga bayanganNya dan penzahiranNya. Dari segi pandangan kerohanian, Allah itulah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Batin dan Yang Zahir.
Penjelasan yang ketiga
AKU yang paling dalam itu bersifat kerohanian. Jika AKU itu dibersihkan pandangannya melalui zikrullah dan latihan kerohanian orang-orang Sufi, maka AKU itu akan mencapai satu tahap pandangan dimana ia rasa wujud ini adalah Esa juga. Menurut pandangan ini, wujud itu ada bertingkat-tingkat, bertahap-tahap, dan pelbagai aspek, namun ia tetap satu. Segala yang ada kelihatan, baik yang zahir mahupun yang batin, semuanya satu wujud sahaja, pada hakikatnya. Inilah pandangan AKU yang paling dalam.
Penjelasan yang keempat
Sekali lagi diulangi bahawa AKU anda itu adalah ROH anda dan itulah juga diri anda sebenarnya.
AKU itu juga adalah ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana seluruh alam raya, yang ghaib dan yang nyata, adalah tanda-tanda wujudnya Allah SWT.
AKU itu juga digelar ROHULLAH (ROH ALLAH) kerana ROH itu adalah hembusan dari ROH ALLAH atau limpahan dari ROH ALLAH.
AKU itu juga digelar Nurullah ( cahaya ALLAH) kerana setiap roh itu adalah cahaya. Digelar cahaya kerana setiap yang menampakkan sesuatu digelar cahaya . Nabi-Nabi itu cahaya Allah kerana melalui Nabi-Nabi itu kita dapat mengenal Allah melalui ajaran dan didikan mereka. ROH itu cahaya kerana melalui ROH itu kita kenal dan ‘nampak’ Allah.
AKU itu juga digelar Ma’lum dalam ilmuNya. Ma’lum ertinya ‘yang diketahui’. Allah itu ‘alim ( yang mengetahui). Setiap yang mengetahui tentu berpengetahuan (berilmu). Allah itu berilmu, sebab itulah ia ‘alim. Setiap yang ‘alim tentu ada ilmu dan ada perkara yang diketahuinya. Perkara yang diketahui itu digelar Ma’lum (yang diketahui). Allah itu ada ilmu dan dalam ilmuNya ada Ma’lum. ROH kita ini termasuk dalam ilmu Allah. Maka ROH kita itu Ma’lum Allah. Maka itulah dikatakan ROH itu Ma’lum dalam ilmu Allah.
Penjelasan yang kelima
AKU atau ROH itulah yang dapat mengenal Allah SWT bukan badan kasar ini yang mengenalNya. Melalui ROH itu kita mengenal Allah. Wadah atau bekas tempat Allah mentajallikan (menzahirkan) dirinya kepada kita ialah ROH kita. ROH itu digelar juga hati. Bukan hati fizikal itu tetapi hati yang bersifat kerohanian. ROH itu memiliki kesadaran (consciousness). Kesedaran tentang wuudnya Allah dan sifat-sifatNya yang terzahir dalam alam semesta raya ini. Yang melihat penzahiran atau tajalli itu ialah ROH kita.
Penjelasan yang keenam
AKU ini memang hampir dengan Allah. AKU dan Allah tidak bercerai-berai dari dulu, sekarang dan selamanya. Ibarat ombak tidak bercerai dengan laut. Dari sudut manapun Wujud Semesta Raya itu tetap mengelilingi AKU. Ia meliputi AKU dari kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang, luar, dalam bahkan dari mana sahaja. ” Hampir” dan “Mengelilingi” itu bukanlah dari segi ruang dan waktu yang boleh diukur dengan panjang, lebar, dalam, atau dari segi masa dan waktu. Hampir dan mengelilingi itu adalah dari segi pandangan rohaniah atau kerohanian. Hanya orang yang berada dalam pengalaman rohaniah sahaja yang faham akan maksudnya.
Wujud semesta itu “meliputi”, “merangkumi”, “berpadu”, dan “bersatu” dengan AKU. AKU terserap dalam Wujud Semesta ini.
Penjelasan yang ketujuh
Dari segi aku atau ROH atau diri, wujud AKU “bersatu” dan “berpadu” dengan Wujud Yang Esa dan Semesta itu. Kelihatan pada AKU bahawa Allah itu batin dan AKU itu zahirnya. Allah itu hakikat dan AKU itu bayanganNya. Dia asal dan AKU terbitanNya. Dia elektrik dan AKU lampu. Dia dalang dan AKU boneka. Gerak AKU digerakkan olehNya.
Ini adalah pandangan kerohanian yang paling dalam.
Penjelasan yang kelapan
Memang AKU itu ada(wujud). Wujudnya dengan limpahan Wujud Yang Maha Agung (iaitu Allah). Hidup AKU limpahan hidupNya. AKU berdaya limpahan dayaNya. Berkuasanya dan berupayanya AKU adalah limpahan kuasa dan upayaNya. Aku berkehendak dan Diapun berkehendak. Kehendak AKU tertakluk kepada kehendakNya.
“Limpahan” disini bererti kurniaan atau terbitan atau penzahiran atau keluaran ataupun kesan.
Yang Maha Wujud itu Allah. AKU dan alam semesta raya adalah limpahan nama-nama dan sifat-sifat Yang Maha Wujud itu. Setiap nama dan sifat Allah terzahir pada AKU dan alam semesta raya ini.
Itulah pandangan AKU yang bersifat kerohanian.
Penjelasan yang kesembilan
AKU ini ada sifatnya iaitu hayat atau hidup, ilmu atau pengetahuan, pendengaran, penglihatan, kudrat atau kuasa, iradat atau berkehendak, dan berkata-kata. Semua sifat-sifat ini adalah limpahan dari sifat-sifat Allah belaka.
AKU yang hakiki itu tiada bercerai dan tiada terpisah dengan sifat-sifat Allah dan Allah itu sendiri. Wujud AKU itu sebenarnya diserapi oleh Wujud Semesta Raya itu. Iilah pandangan AKU yang bersifat rohaniah.
Penjelasan yang kesepuluh
AKU yang bersifat rohaniah semata-mata itu terasa cukup baginya Allah sahaja. Allah itulah segala-galanya bagi AKU. Kepada Allah itulah AKU itu mengadu dan berharap. Pandangannya tertumpu pada Allah. Tenggelamlah AKU itu dalam lautan Ketuhanan Allah Yang Maha Luas dan Dalam.
Dalam keadaan perasaan menyerap dalam Lautan Ketuhanan Yang Maha Luas dan Dalam itu, AKU tidak berasa takut, tidak berasa dengki, tidak berasa kecil hati sesama makhluk.
Pada pandangan AKU itu, makhluk itu hakikatnya tiada apa-apa. Wujud makhluk bukan hakiki, hanya bayangan sahaja iaitu bayangan wujudnya Allah. Hanya Allah jua yang wujud. Demikian pandangan AKU.
Penjelasan yang ke-11
Sungguhpun AKU itu berpandangan seperti yang tersebut dalam enjelasan-penjelasan yang terdahulu itu, namun AKU tidak akan menjadi DIA (iaitu Allah). AKU tetap AKU, DIA tetap DIA. Tetapi AKU dan DIa “bersatu” dan “berpadu” seolah-olah menjadi SATU. Ibarat bersatunya ombak dengan lautan, bersaatunya air dengan ais.
Pandangan ini bukan pandangan dari segi fizikal, akal dan berangan-angan, tetapi adalah pandangan ROH iaitu ROH yang dibersihkan dengan Zikrullah dan latihan jiwa dalam jangka waktu yang lama, dengan bimbingan guru sufi yang pakar dalam bidang Kerohanian dan Ketuhanan.
Penjelasan yang ke-12
Setelah mencapai tahap pandangan ROH yang tinggi itu, maka kemana sahaja ROH itu menghadap di sana terzahir wajah Allah seolah-olah Ia berada dimana-mana jua.
Berkatalah mereka yang mengalami pandangan demikian:
Maha hampir tidak terkira
Bersatu bersama sehati sejiwa
Maha jauh namun hampir jua
Gerakku gerak Dia
Diamku diam Dia
Tindak-tandukku tindak-tanduk Dia
Berkata mereka lagi:
Hidupku pancaran hidupNya
Diriku bayangan diriNya
Sifatku gambaran sifatNya
Semua kata-kata mereka itu hanya ibarat, perumpamaan untuk menjelaskan perasaan dan pandangan ROH mereka. Antara lain kata mereka:
Kalau Dia matahari akulah cahayaNya
Kalau Dia lautan akulah ombakNya
Kalau Dia masin akulah garamNya
Kalau dia manis akulah gulaNya
Aku seorang berdua denganNya
Tapi aku berpadu denganNya
Maha dekat disamping maha jauhNya
Oh! Alangkah hebat wujudNya
Wujudku tenggelam dalam wujudNya
Fana dan Baqa dalam adaNya.
Demikian pandangan orang-orang Kesufian yang telah mencapai peringkat serasa seolah-olah berserta dengan Wujud Yang Maha Esa itu. Mereka mencapai tahap demikian kerana mereka menumpukan seluruh pandangannya terhadap Yang Maha Wujud itu dan penuh cinta denganNya.
Orang yang tidak pernah menjalani latihan rohaniah dan tidak tahu hal-hal kerohanian yang mendalam dan tidak pernah menempuh jalan kerohanian, mereka jangan cuba-cuba mentafsirkan sendiri pendapat mereka itu takut nanti tersesat pula.
Penjelasan yang ke-13
AKU dating dari Allah. AKU adalah ma’lum(yang diketahui) dalam ilmu(pengetahuan) Allah. Kemudian AKU berada di alam ROH. Bila sampai masanya hendak lahir ke dunia ia dihembuskan ke bakal bayi dalam rahim ibu. Cukup masanya dalam rahim ibu itu, ia pun lahir ke dunia bersama adan fizikal yang berbentuk bayi.
AKU akan berada di dalam alam dunia sampai ajalnya sampai. Kemudian ia masuk pula ke alam Barzakh. Setelah berada sekian lama, maka ia akan dipertimbangkan di Hari Pengadilan. AKU akan masuk syurga atau neraka. Mudah-mudahan janganlah masuk neraka hendaknya. Maka AKU kembali ke hadrat Allah SWT. Dari Allah AKU dating kepada Allah AKU kembali. Di sana kekallah hidup bersama dengan Yang Maha Hidup (iaitu Allah) selama-lamanya. Itulah perjalanan AKU. Mengembara dari satu alam ke satu alam.
Penjelasan yang ke-14
AKU itu sebenarnya bebas merdeka. Ia hanya bergantung kepada Yang Maha AKU(iaitu Allah). Ia tidak memiliki apa-apa. Ia hanya menerima limpahan wujud dari Yang Maha Wujud.
AKU tidak patut dipuji kerana ia “kosong”. Yang Maha Wujud Hakiki hanya Allah. AKU tidak memuji Ghairullah (selain Allah) kerana Ghairullah itupun kosong juga. Yang patut dipuja dan dipuji hanya yang Wujud Hakiki itu sahaja.
AKU hanya satu sinaran dari Matahari Ketuhanan. AKU hanya satu ombak dari lautan Ar-Rahman(iaitu Allah). AKU hanya satu ayat dalam karangan Al-Haq(yang benar) iaitu Allah. AKU hanya sebutir pasir dalam padang pasir Wujud Yang Maha Meliputi dan Maha Luas. AKU hanya satu bayangan dari bayangan Dia Yang Maha Ada. Itulah AKU yang tidak terpisah dengan Tuhanku.
Penjelasan yang ke-15
AKU miskin papa, lemah, tidak berdaya dan tidak punya apa-apa. Yang Kaya Raya, Yang Gagah Perkasa, Yang Kuat dan Berdaya dan memiliki segala-galanya iailah Yang Maha Kaya dan Maha Kuat itu juga. Itulah Allah SWT.
Hidup AKU kembali ke hidupNya. Gerak AKU kembali kepada gerakNya. Diam AKU kembali ke diamNya. Sifat AKU kembali ke sifatNya. Nama AKU kembali ke namaNya. Amalan AKU kembali ke amalanNya. Wujud AKU kembali ke wujudNya.
Memang benar, AKU itu akan kembali kepadaNya, laksana cahaya kembali ke matahari, seperti ombak kembali ke laut. Tempat kembali itulah tempat AKU sebenar.
Penjelasan yang ke-16
Sebagaimana tersebut dahulu, AKU itu adalah ROH. Itulah diri. ROH ini tidak tertakluk kepada ruang dan waktu. Ia bukan tua dan bukan muda. Tua dan muda itu hanya bagi jasmani dan keadaan dunia ini sahaja. Semua ROH adalah sebaya sahaja. Nabi Adam AS sebaya dengan Nabi Muhammad SAW. Kita sebaya dengan moyang kita. Begitulah sebagainya. Tiada tua dan muda bagi ROH. ROH tercita serentak sekaligus sahaja.
Kemudian ROH itu dilahirkan ke dunia melalui rahim ibu dengan badan kita sebagai sangkar atau sarungnya. Ia dilahirkan ke dunia menurut masa yang telah ditentukan. Siapa yang ditakdirkan lahir dahulu dialah yang tua dan siapa yang lahir kemudian dialah yang muda.
Dari segi rohaniah atau kebadanan ada tua dan ada yang muda, tetapi dari segi ROH sebaya sahaja.
AKU juga tidak tertakluk kepada tempat. AKU bukan Barat dan bukan juga Timur. Bukan juga dari Utara dan bukan juga dari Selatan. AKU tidak tertakluk kepada arah dan tempat.
AKU juga bukan tertakluk kepada bangsa. AKU atau ROH bukan berbangsa itu dan bukan berbangsa ini. Bangsa-bangsa itu hanya wujud dalam dunia nyata ini. Di alam AKU tidak ada bangsa-bangsa.
AKU adalah ma’lum dalam ilmu Allah, wujud dalam wujud-NYA. AKU adalah penzahiran sifatNya. Demikian AKU tenggelam dalam Yang Maha Aku (iaitu Allah SWT).
Penjelasan yang ke-17
AKU tidak terkotorkan oleh kencing dan tahi. Tidak ada najis fizikal yang dapat mengotorkannya. Ibarat cahaya matahari, cahaya itu menyinari najis dan benda-benda kotor, namun cahaya itu tidak akan kotor. Ia menyinari tempat wangi dan tempat busuk, tetapi cahaya tidak akan wangi dan busuk, kotor atau bersih.
Najis pada AKU itu ialah syirik, menyekutukan Allah, mengatakan Allah lebih dari satu. Itulah najis bagi AKU. AKU yang bertauhid adalah ROh yang suci. ROH itu pada hakikatnya sentiasa percaya dengan adanya Allahdan mengesakanNya. Hanya setelah sampai kea lam duni barulah ROH itu tercemar oleh pengaruh keduniaan, pengaruh iblis dan syaitan, pengaruh kebendaan, pengaruh nafsu serakah dan sebagainya.
Kita perlu membersihkan jiwa atau AKU kita kembali sebagaimana aslinya dengan zikrullah (mengingat Allah) dengan lisan, hati dan perbuatan. Zikrullah itu ibarat air mutlak yang membasuh dan menyucikan najis syirik dari AKU itu. Bersihkanlah AKU itu hingga fana’ (terasa diri kosong, tiada apa-apa) dan kemudian mencapai setingkat lagi ke peringkat ‘baqa’ (terasa diri sentiasa bersama Allah). Terasa Allah ada dimana sahaja kita berada.
AKU yang bersih atau diri yang suci adalah diri yang mengesakan Allah hingga tidak terasa adanya diri. Yang ada hanya DIRI YANG BERDIRI SENDIRINYA iaitu Allah SWT.
Penjelasan yang ke-18
AKU yang hakiki itu tidak tertakluk kepada warna kulit dan bangsa. AKU itu bukan putih, hitam manis, kuning dan sebagainya. Sebagaimana adanya warna pada badan. AKU tidak ada warna dan tidak berbangsa-bangsa seperti bangsa Cina, India, Melayu, Arab dan sebagainya.
Badan kita berasal dari unsur-unsur tanah, air, api, dan udara tetapi ROH kita bukan dari unsur-unsur dunia nyata ini. AKU ghaib dari pandangan mata kasar namun ia tetap wujud.
AKU berasal dari tempat yang paling mulia. AKU berasal dari Yang Maha AKU (iaitu Allah). AKU berasal dari ilmu Allah masuk ke alam jasad ini dan kemudian kembali kepadaNya. Jadilah ROH itu sebagai Nur Allah sahaja. Ia pun kembali ke tempat asalnya iaitu ke hadrat Allah SWT.
Penjelasan yang ke-19
AKU ini pada hakikatnya adalah boneka yang dilakonkan oleh Dalang (iaitu Allah). AKU ini dari satu ibarat lagi iailah keris yang dihunus oleh pendekar. AKU tidak berdaya upaya, gerak dan diam AKU adalah digerakkan dan didiamkan oleh Allah. Adanya AKU adalah limpahan dari adanya Allah.
Allah itu hakiki. AKU itu majazi atau relative sahaja. Kalau difaham dan diselidiki secara mendalam, akan terasa bahawa yang ghaib dan yang zahir dan yang awal dan yang akhir adalah Allah sahaja.
Pendeknya pada pandangan orang yang sangat hampir dengan Allah, alam dan dirinya lenyap sama sekali dan tinggallah Allah semata-mata. Ini dipandang oleh ROH yang bersih dan suci dan mentauhidkan diri kepada allah semata-mata.
Penjelasan yang ke-20
AKU yang hakiki itu adalah nurullah (cahaya Allah) kerana dengan ROH, Allah kelihatan. Sesuatu yang menampakkan sesuatu yang lain adalah cahaya. Tanpa cahaya gelap gelitalah segala-galanya.
AKU juga ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana ROH itu tanda-tandanya adanya Allah.
AKU juga digelar Rohullah kerana ROH itu adalah hembusan dari Roh Allah. Itulah AKU yang hakiki.
AKU dan alam semesta adalah penzahiran atau tajlli Allah. AKU ini adalah alam ke kecil kerana semua perkara yang ada dalam alam besar ini ada salinannya atau penzahirannya dalam alam kecil.
Alam semesta ini juga digelar Insan Kabir(manusia besar) kerana semua yang ada dalam alam kecil ini ada kenyataannya dalam alam besar.
Insan Saghir(manusia kecil) ini adalah diri(ROH) manusia itu dan Insan Kabir itu adalah alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata. Alam kecil adalah Insan Saghir iaitu Manusia dan Alam Besar adalah Insan Besar iaitu Alam Semesta Raya.
Demikian pendapat Falsafah Kesufian (Philosophy of Sufism).
Penjelasan yang ke-21
Dalam alam dunia ini kita katakana si anu itu orang Bandar dan si anu itu orang kampong ataupun si anu itu berada di pejabat atau berada di rumah. Semua itu menunjukkan tempat dalam alam nyata ini. Tetapi bagi ROH itu semua tidak ada. Ia bebas dari tempat atau arah atau masa atau waktu.
ROH itu hidup. Ia tidak tertakluk kepada alam nyata atau alam kebendaan. ROH itu hidup dengan limpahan Yang Maha Hidup. Demikianlah AKU.
Penjelasan yang ke-22
AKU memang berserta dengan Allah, sejak dari dahulu hingga akan dating atau sejak awal hingga akhir. Tidak pernah bercerai dan berpisah dengan Yang Maha Aku(iaitu Allah). Sejak dari dalam ilmu Allah hingga sampai ke alam akhirat yang tidak ada hujungnya, AKU tetap bersama Allah.
AKU tidak keluar dan tidak masuk dalam lengkongan Allah. AKU itu memang berada dalam lengkongan Allah sahaja. Kalau Allah itu diibaratkan sebagai lautan, maka AKU itu ikannya. Ikan itu sentiasa dalam lautan dan tidak akan hidup tanpa air lautan itu.
‘Masuk’ dan ‘Keluar’, ‘berpisah’ dan ‘bersatu’, tidak termasuk dalam kamus AKU. AKU bukan seperti badan kasar yang tertakluk kepada ruang dan zaman.
AKU menyerahkan dirinya dan nasibnya kepada Yang Maha AKU. Cukuplah Dia mengawal dan memelihara AKU. AKU tidak perlu pada yang lain lagi. Tidak perlu pertolongan dari ghairullah(selain Allah), bahkan tidak ada ghairullah pada pandangannya. Cukup Allah bagi AKU.
Penjelasan yang ke-23
AKU bodoh. Dialah yang mencerdikkan AKU. AKU lemah Dialah yang menguatkan AKU. AKU tidak tahu, Dialah yang memberiku tahu. AKU papa kedanan, Dialah yang memperkayakan AKU.
AKU bertanya, memohon, berharap kepadaNya sahaja. Seolah-olah AKU dan DIA berpadu dan bersatu dimana dan bila sahaja. Dan DIA ada dalam kesadaran (consciousness) AKU.
Renunglah ke dalam AKU. Dia berada dalam kesadaran AKU. Maha Halus dan Maha Seni. AKU terdengar bisikanNya. Dalam waktu sunyi sepi, paling baik mendengar bisikan hati nurani. Tanpa huruf, tanpa suara, tetapi AKU faham segala-galanya.
AKU kenal Dia dalam kesadaran batinku kerana AKU berhubung dengan Dia tanpa menyekutukanNya. Inilah satu hasil zikrullah.
Penjelasan yang ke-24
AKU wujud dalam lautan Yang Maha Wujud. AKU sentiasa berada dalam lautan itu. Dalam lautan itulah AKU bermastautin. Itulah lautan wujud.
Penjelasan yang ke-25
AKU memang ada kesadaran, limpahan Yang Maha Sedar(iaitu Allah SWT). Kesadaran AKU meliputi alam nyata dan alam ghaib, alam dunia dan alam akhirat. AKU sedar semua itu. Semua perkara itu ada ilmuku. Allah ada dalam kesadaran AKU. Begitu juga makhluk ada dalam kesadaran AKU. Segala yang ada dalam kesadaran AKU itulah ilmu AKU. Syurga, neraka, malaikat dan iblis ada dalam kesadaran AKU. Semua yang ada dalam ilmu atau kesadaran AKU itu adalah penzahiran Allah dalam kesadaran dan ilmu AKU.
Penjelasan yang ke-26
AKU sentiasa cinta kepada DIA (Allah). Tidak mahu berpisah dan berjauhan dengan DIA. AKU sentiasa ingatkan DIA. Terasa azab jika tidak mengingatiNya. Puja dan puji hanya untuk DIA belaka. Perasaan cinta ini tidak akan ada pada AKU jika tidak dengan anugerahNya juga. Alangkah kerdilnya AKU berada dalam majlis DIA.
Penjelasan yang ke-27
Dari pandangan ROH atau AKU yang hakiki, AKU tidak memiliki apa-apa tetapi ia dimiliki oleh Yang Maha Kaya (iaitu Allah).
AKU diperbadankan untuk menjalani hidup di dunia fana ini. AKU juga diberi nafsu. Kalau AKU ditakluki oleh badan dan nafsu, maka binasalah AKU itu, tetapi jika AKU yang menkluki badan dan nafsu, maka selamatlah AKU itu.
AKU membawa kita menuju Allah dan menyedari hakikat dirinya dan Tuhannya. Nafsu serakah membawa kita jauh dari Allah dan lupa akan hakikat diri kita. Lantaran itu hanyutlah ia dalam larutan kelupaan dan kesesatan dan akhirnya ia akan menyesal setelah ia meninggalkan badannya. Setelah ROH berpisah dari badan, maka sedarlah AKU itu kembali akan keadaan dirinya yang sebenar.
Penjelasan yang ke-28
Badan kita ini amat kerdil, ibarat sebutir pasir di padang sahara, setitik air di lautan luas, sebiji bintang di cekrawala, melukut di tepi gantang, masuk tidak bertambah dan keluar tidak mengurang. Betapa kecil dan kerdilnya badan kita. Itulah wajah zahir AKU.
Tetapi kalau kita renung ke wajah batin kita, dia paling mulia, paling tinggi martabatnya, mengatasi segala makhluk dan malaikat. AKU itu suci dan wangi, sangat hampir dengan Ilahi. Dialah cahaya Allah, Dialah ayat-ayat Allah, Dialah ROH Allah, Dialah bayangan dan penzahiran Allah.
AKU yang hakiki itu sangat mulia, tiada tertanding oleh sekalian makhluk. Dia bertasbih setiap ketika, memandang Allah dengan kasihnya, rindu dendam tiada terkira. Itulah AKU yang sebenarnya.
Penjelasan yang ke-29
Berbagai-bagai cara orang hendak mengenal dirinya atau AKUnya. Ada yang melalui meditasi, pertapaan, mengosongkan fikiran, latihan jiwa yang menyiksakan badan dan sebagainya. Tetapi bagi oaring-orang Sufi ialah dengan Zikrullah yang diajar oleh guru-guru Sufi yang pakar. Dengan berzikir dan melalui bimbingan Syeikh Mursyid sampailah seseorang itu pada tahap mengenal dirinya atau AKUnya.
Orang-orang Sufi ada menjelaskan bahawa “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka akan kenallah ia akan Tuhannya”. Ini bukan bermakna DIA jadi Tuhan. Apabila seseorang itu kenal gambar, maka kenallah ia akan orang yang digambarkan. Apabila seseorang kenal akan baying dalam cermin, maka kenallah ia orang yang punya baying. Fahamkanlah!
Penjelasan yang ke-30
Orang yang memasuki jalan kesufian (Tareqat Sufiyah) adalah sebenarnya memasuki pengembaraan iaitu pengembaraan AKUnya menuju Allah SWT. Pengembaraan ini bukan dari tempat ke tempat atau dari masa ke masa, tetapi pengembaraan ini adalah pengembaraan dalam kesadaran AKU, beredar dalam pengalaman kerohanian atau kejiwaan. Hanya jiwa yang merasainya, tidak kelihatan oleh mata kasar.
Tetapi setelah sampai ke destinasi (tempat dituju) iaitu kesadaran bahawa AKU ini fana dalam Allah dan Baqa(kekal) denganNya, barulah AKU itu sedar bahawa pengembaraan itu hanya dari tidak sedar kepada sedar. Sedar betapa AKU memang berada di destinasi sejak awal hingga akhir. Apakah destinasi itu? Itulah kesadaran dan pengenalan tentang Allah atau dalam istilah kesufian digelar MA’RIFAT.
Pada hakikatnya AKU itu memang berada ‘dalam’ Allah dan ‘kekal’ dengan Allah sejak awal lagi, dulu, sekarang, dan akan dating. AKU memang bersama dan ‘berpadu’ dengan Tuhannya. AKU itu memang diliputi oleh lautan Wujud Ketuhanan.
Penjelasan yang ke-31
Dalam peringkat AKU yang hakiki, ia tidak peduli orang yag mengeji kerana keji itu tidak akan merendahkan martabatnya. Ia juga tidak peduli orang yang memuji kerana pujian itu tidak akan meninggikan martabatnya. AKU tidak sakit hati dengan kejian dan tidak bangga dengan pujian. Semua itu tidak apa-apa bagi AKU. Keji dan puji tidak menjejaskan martabatnya sedikit jua.
‘Yang apa-apa’ bagi AKU hanya Allah kerana Dialah tempat AKU kembali, tempat AKU mengadu, tempat menyerahkan diri, tempat perlindungan, tempat pembelaan dari apa jua angkara, dari jin dan manusia, dari dunia dan apa saja. Cukuplah Allah bagi AKU.
Penjelasan yang ke-32
Dalam kesadaran AKU, semua makhluk ini dan diri AKU juga adalah semata-mata ayatollah(tanda-tanda Allah). Tanda-tanda adanya Allah, tanda-tanda kesempurnaanNya, keagunganNya dan keindahanNya.
Apabila dilihat tanda, tergambarlah yang tanda. Apabila dilihat gambar, terbayanglah yang digambar. Apabila dilihat daun yang bergoyang, nampaklah angina yang bertiup. Apabila nampak baying, nampaklah yang empunya baying. AKU dan alam semesta raya ini adalah ayat-ayat Allah belaka.
Penjelasan yang ke-33
AKU yang hakiki percaya dan menyerah diri kepada Yang Maha AKU(iaitu Allah) sahaja tanpa sangsi dan ragu-ragu. AKU memfanakan dirinya dalam Yang Maha AKU. Terasa oleh AKU betapa kasihnya Yang Maha AKU kepadanya. Tidak terhingga kasih sayangnya kepada AKU, melebihi kasih sayang ibu kepada anaknya. Yang Maha AKU cinta dan kasih sayang kepada AKU. Percayalah!
Penjelasan yang ke-34
Adakalanya AKU itu sangsi dan ragu atau perasaan tidak menentu terhadap kasih sayang Yang Maha Penyayang. Mungkin syaitan membisik kedalam kalbu supaya ragu-ragu dan tidak percaya dengan kasih sayang Yang Maha Pengasih.
Oleh yang demikian, AKU sentiasa memohon perlindungan Allah dari bisikan syaitan. Setiap saat AKU berjuang melawan bisikan syaitan itu dan mengharapkan bantuan dari Yang Maha Gagah(iaitu Allah).
Penjelasan yang ke-35
AKU sentiasa menyerahkan diri kepada Allah SWT. Penyerahannya bulat dan padu. Ia menyerahkan dirinya kepada Allah ibarat bayi menyerahkan dirinya kepada ibunya, ibarat mayat menyerahkan dirinya kepada pemandi mayat, ibarat ombak memfanakan atau melenyapkan dirinya kedalam lautan. Bahkan lebih dari itu lagi. Tidak dapat digambarkan lagi.
Penjelasan ang ke-36
AKU sebenarnya berasal dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu dihadrat Allah SWT. Kemudian dating sebentar ke planet bumi dan diperbadankan dengan badan jasmani untuk tempoh yang ditentukan seolah-olah merantau sebentar di planet bumi ini.
Apabila sudah cukup tempoh berada diperantauan, AKU pun kembali pulang menuju ke tempat asal. Ibarat perantau kembali ke kampong halaman. Tidaklah terkira hati berasa nyaman.
Tetapi jika diperdalam renung dan kaji, AKU tetap berada di tempat sendiri. Bukan dari mana dank e mana pergi. Bila dan dimana juga pun AKU di tempat sendiri juga.
AKU dating dari Ilahi, tidak bercerai walaupun seinci dan sesaat. AKU tetap bersama setiap masa dengan Allah SWT. Dulu AKU bersama denganNya, sekarang pun bersama denganNya, akan dating pun bersama denganNya. Sentiasa AKU bersama dengan Allah SWT.
AKU itu tetap. AKU juga, bersama Allah sentiasa. Hanya alam-alam yang ditempuh saja berbeza , dari satu alam KE SATU ALAM YANG LAIN. AKU SENTIASA KEKAL DENGAN Allah, walaupun di alam manapun berada.
Penjelasan yang ke-37
AKU tidak kagum dengan kemajuan manusia. Tidak kagum dengan kemajuan sains dan teknologi, kemajuan peniagaan dan perindustrian. Bahkan AKU tidak hairan dengan segala urusan keduniaan.
Yang dihairankan oleh AKU iailah Allah Yang Maha Bijaksana yang melimpahkan segala ilham kemajuan itu. Sebenarnya Dialah yang maju dan Dialah yang bijaksana. Dia yang memiliki segala ilham. Sumber ilham kemajuan itu dari Yang Memiliki Ilham itu sendiri iaitu Allah SWT.
Penjelasan yang ke-38
AKU itu diri. Diri manusia itu banyak tetapi berasal dari Diri Yang Satu. Diri itu ROH. ROH itu banyak tetapi berasal dari Satu ROH iaitu Al Roh.
Al Roh itu digelar oleh orang-orang Sufi sebagai Haqiqatul Muhammadiyah atau juga digelar Insan Kamil atau Insan Kabir. Al ROh itu juga digelar Al Roh Ul Kulliyah (roh semesta). Dari ROH Semesta inilah dizahirkan ROH-ROH yang pelbagai dan banyak itu. Allah zahirkan AL Roh dan dari Al Roh dizahirkan sekelian ROH. ROH individu atau ROH perseorangan itu pancaran dari Al Roh dan Al Roh pula terbit dari Allah SWT.
Demikian pandangan falsafah kerohanian sebahagian orang Sufi.
Penjelasan yang ke-39
AKU tidak megah dengan harta benda, wang ringgit, pangkat darjat, anak pinak, sanak saudara yang banyak dan segala ghairullah (selain Allah).
AKU tidak iri hati dengan orang kaya. Ia tidak dengki dengan orang-orang berpangkat tinggi. Pada pandangan AKU segala harta benda, wang ringgit, pangkat, saudara mara, anak pinak dan sebagainya itu adalah milik Allah yang dianugerahkanNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Dia yang menentukan siapa yang patut diberi harta banyak dan siapa yang patut diberiNya harta yang sedikit. Semua itu Allah yang menentukan. KetentuanNya tidak dapat disanggah dan dipertikaikan. Kenapa AKU mesti dengki dan iri hati dengan ketentuanNya. Dia yang AKU puji dan puja tentulah AKU redha dengan ketentuanNya.
Penjelasan yang ke-40
AKU tidak merasa hina kalau miskin papa atau buruk paras badan, atau tidak berpangkat atau tidak banyak kawan atau tiada intan berlian. Semua itu berkaitan dengan keduniaan dan kebendaan, tidak bersangkut paut dengan AKU yang bersifat kerohanian.
AKU hina jika kufur dengan Allah. AKU hina jika jauh dengan Dia, jika tidak beriman dan tidak bertakwa, itulah kehinaan pada AKU yang sebenar.
Penjelasan yang ke- 41
Matlamat AKU ialah ALLAH. Yang diharapnya ialah keredhaan Allah. Yang dimintanya ialah keampunan Allah. Pada pandangan AKU kehidupan akhirat itulah yang utama. Kembali ke hadrat Allah itulah yang diidamnya.
AKU tidak takut mati (berpisah nyawa dari badan) kerana ‘mati’ sebenarnya berpindah alam, dari alam dunia kea lam barzakh. AKU tetap AKU juga. Walaupun badan hancur tetapi AKU tidak hancur. AKU akan kembali sedar kerana hijab-hijab (tirai-tirai) kebadanan telah hilang.
Penjelasan yang ke- 42
Walaupun dari segi kehidupan dunia ini seseorang itu papa, tetapi kalau jiwanya kenal diri dan Tuhannya, ia tetap kaya. Kaya pada perasaannya. Walaupun susah kehidupan dunianya, AKUnya tetap berasa senang. Walaupun badannya lemah, AKUnya tetap berasa kuat. Walaupun ia kesunyian tanpa rakan, namun ia tetap berasa ramai.
AKU yang telah ‘menyerap’ dalam Yang Maha AKU, atau jiwa yang ‘menyerap’ dala Jiwa Semesta atau perasaan yang ‘menyerap’ dalam Perasaan Sejagat Raya, atau diri yang ‘menyerap’ dalam Diri Semesta Raya, tidak akan merasa lemah, tidak akan merasa susah, tidak akan merasa teruk, dan tidak akan merasa duka, dan tidak akan merasa sunyi.
Penjelasan yang ke- 43
AKU tidak megah dan tidak bangga. Orang yang telah kenal AKUnya tidak memiliki sifat-sifat yang tercela seperti takabbur, bongkak, sombong, kikir, dengki, khianat, takut kepada ghairullah, mengumpat, mengeji dan sebagainya.
Sifat-sifat tercela itu tidak perlu baginya. Segala sifat tercela itu sendirinya hilang dan diganti dengan sifat-sifat terpuji.
Apakah yang hendak dimegahkan, dikhuatirkan, ditakutkan, dan sebagainya kerana AKU itu sebenarnya tiada apa-apa. AKU itu kosong belaka. Yang ada hanya Allah pada hakikatnya. Allah memiliki segala-galanya. Dia yang patut dipuji dan dipuja.
Penjelasan yang ke- 44
AKU itu berilmu. Ilmunya adalah limpahan ilmu Allah. Ilmu itu meliputi yang diketahui. Apa yang diketahui itu adalah kandungan ilmu. Oleh itu AKU, ilmunya dan yang diketahuinya adalah sebenarnya ‘bersatu’, ‘bersama’, dan tiada bercerai.
AKU itu tahu. Apa yang AKU tahu itulah kandungan ilmu AKU. Berbagai-bagai yang diketahui oleh AKU. Semua itu kandungan ilmu AKU. Semua itu tiada bercerai dari AKU.
Penjelasan yang ke- 45
AKU yang sebenarnya itu hanya tertakluk kepada Allah sahaja. Ia tidak dikuasai oleh sesiapa. Alam ini tertakluk kepada AKU. Makhluk itulah yang tunduk kepada AKU dengan perintah Allah Yang Maha Perintah.
AKU itu khalifah Allah atau wakil Allah yang mngurus makhluk dengan isiNya. Segala yang ada dilangit dan dibumi semua untuk AKU. Kalau dunia ini lading, AKU pengurusnya dan Allah yang empunya lading itu.
Allah tidak perlu apa-apa. Hanya AKU yang memerlukan Dia. Hanya AKU yang mahukan dunia. Makhluk segala-galanya adalah untuk AKU(Insan). Semuanya kurniaan Tuhan AKU (Allah). Allah jadikan makhlukk untuk AKU. Demikian mulianya AKU.
Penjelasan yang ke- 46
AKU ini memang suci hakikatnya kerana Ia limpahan Nur Allah Yang Maha Suci. Yang mengotorkan AKU ini ialah syirik iaitu menyekutukan dengan apa dan siapa jua. Untuk membersihkan najis syirik itu dari hati ialah dengan Tauhid. Tauhid ibarat air yang menyucikan najis syirik dari hati. Jiwa yang bersih ialah jiwa yang tauhid.
Dengan Tauhid ini menjadikan jiwa seseorang itu berani, tawadhu’, sabar, kuat dan gagah kerana jiwa tauhid ini betul-betul mengEsakan Allah dan menyerah bulat-bulat kepada Allah Yang Maha Agung.
Dengan berzikir hati akan jadi tenang dan damai, akan menimbulkan semangat tauhid dalam dalam penzikir itu.
Penjelasan yang ke- 47
Perhubungan AKU dengan Allah SWT iailah ibarat pehubungan matahari dengan cahayanya, ibarat ombak dengan laut, ibarat air dengan ais. Semua ini menunjukkan betapa hampirnya perasaan AKU itu dengan Khaliknya.
Satu ibarat lagi ialah pelukis dengan lukisan, pengukir dengan ukiran, pengarang dengan karangannya, pencipta dengan ciptaan. Ini adalah ibarat untuk menunjukkan bahawa AKU dengan alam semesta raya ini adalah tanda-tanda atau manisfestasi Wujud Yang Maha Esa itu.
Penjelasan yang ke- 48
AKU tetap mengisbatkan Allah dalam segala hal dan tindak tanduknya. Maksudnya AKU tetap nampak Allah di sebalik segala yang maujud (perkara yang ada) ini dan “nampak” perbuatan dan lakuan dan arah mana memandang disana “nampak” Allah.
Oleh kerana memandang yang sedemikian itu maka AKU akan berkata, ” Tiada maujud melainkan Allah”. Ini adalah kata-kata dari orang yang sudah “tenggelam” dalam lautan Ketuhanan yang berada dalam pandangan keruhanian semata-mata. Inilah orang-orang sufi yang telah mencapai maqam Fana Fillah (lenyap dalam Allah) dan seterusnya Baqa Billah (kekal dengan Allah).
Penjelasan yang ke- 49
AKU sebenarnya hanya mengagungkan dan memuja Allah sahaja. Ia tidak mengagungkan apa-apa pun jua selain Allah. Pada pandangan AKU tidak ada yang kuat dan gagah melainkan Allah. Tidak ada yang bijaksana melainkan Allah. Tidak ada yang kaya melainkan Allah.
Semua kekayaan, kegagahan, kebijaksanaan, keindahan ghairullah adalah hanya limpahan kurnia Allah semata-mata. Oleh itu, AKU tetap dengan puji dan pujiannya terhadap Allah SWT sahaja.
Penjelasan yang ke- 50
AKU yang hakiki ini mempunyai ilmu. Ilmunya adalah limpahan dari ilmu Allah. Seluruh ala mini ada dalam ilmu AKU. Dalam ilmu AKU ada syurga, neraka, dunia, akhirat, malaikat, iblis bahkan seluruh ciptaan Allah. Semua ini ada dalam ilmu AKU kerana AKU tahu semua itu. Telah diberitahu melalui ayat-ayat Allah, yang tersurat dan tersirat, bahawa semua perkara tersebut ada dan AKU percaya dan ‘merasai’ adanya. Oleh itulah AKU ini mempunyai ilmu yang meliputi segala-galanya. Semua itu adalah limpahan kurnia Allah belaka.
Penjelasan yang ke- 51
Menurut Falsafah Kesufian, AKU itu adalah Insan Saghir yakni Manusia Kecil. Alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata, adalah Insan kabir atau manusia besar. Insan Saghir itu adalah Alam Saghir iaitu Alam keil dan Insan Kabir itu adalah Alam besar.
Dikatakan sedemikian kerana hakikat-hakikat dalam Insan Kabir atau manusia besar itu ada dalam Insan Saghir. Idea-idea Insan Kabir itu ada terbayang dalam Insan Saghir atau Alam Kecil iaitu Manusia.
Alam Kabir itu pula mengandungi alam ruh, alam mithal dan alam jasmaniah atau alam fizikal. Alam-alam ini juga ada pada Insan Saghir atau manusia. Manusia terdiri dari unsure-unsur roh, mithal, badan sebagaimana Alam Besar ini terdiri juga dari unsur-unsur roh, mithal dan fizikal.
Roh itu nyawa atau jiwa atau ‘hidup’. Fizikal itu jisim atau badan. Mithal itu ialah antara roh dan badan yang digelar mental atau khayal atau minda( mind).
Idea Alam Kabir ada dalam Alam Saghir (manusia). Hakikat Insan kabir (iaitu Alam Besar) ada dalam Insan Saghir iaitu Manusia. Unsur-unsur alam kabir itu ada juga pada Alam kecil atau manusia itu.
Maka dengan itulah dikatakan AKU itu ayangan atau salinan Alam Kabir. AKU juga adalah bayangan atau salinan Insan Kabir. Insan Kabir dan Alam Kabir adalah jua nama bagi satu entiti atau diri.
Demikian teori Falsafah Kesufian menurut pandangan sebahagian Ahli Sufi.
Penjelasan yang ke- 52
AKU itu diri. Diri insan terbahagi kepada tiga bahagian menurut pendapat sebahagian Ahli Sufi, iaitu bahagian jasmani, bahagian mithali dan bahagian ruhani.
Unsur roh itu adalah diri yang sebenar. Itulah diri yang tidak akan ‘mati’ menurut istilah biasa. Diri ini berpindah alam sahaja dari satu alam ke satu alam yang lain. Diri inilah yang mulia dan menjadi ayat atau nur Allah. Kejadiannya mulia dan tinggi.
Unsur mithali adalah unsur antara jasmani dengan rohani. Ia adalah diri lapisan yang kedua. Ini termasuklah fikiran, minda dan tubuh halus yang bukan jasmani dan bukan pula roh yang sebenarnya. Diri inilah yang boleh mengembara dalam alam mimpi tatkala kita tidur.
Di lapisan yang ketiga iailah diri jasmani iaitu badan kasar kita yang terdiri dari empat unsur iaitu unsur air, unsur angina, unsur api dan unsur tanah. Diri ini memerlukan unsur-unsur yang empat itu untuk dapat hidup. Kehidupan hanya akan wujud setelah empat unsure itu tersedia.
Itulah tiga bahagian diri manusia. Walau bagaimanapun, unsur roh itulah yang paling penting. Roh itu hidup. Tanpa ‘hidup’ lapisan yang dua lagi tidak berfungsi. Dengan adana roh barulah diri kita boleh berfikir, berkomunikasi, makan, minum, bermain, bergerak dan sebagainya. Tanpa roh segalanya akan kaku, mati, dan tiada berguna lagi.
Penjelasan yang ke- 53
Ada juga orang yang berpendapat iri manusia itu terbahagi kepada dua unsure sahaj iaitu rohaniah dan jasmaniah. Unsure rohaniah termasuklah nyawa atau jiwa, dan juga fikiran, minda, khayalan, akal, dan seumpamanya. Semua ini berunsur rohaniah atau kejiwaan.
Yang berunsur kejasmanian atau kebadanan ini termasuklah anggota badan kasar seperti kepala, badan, kaki, tangan, telinga, mata, dan sebagainya yang terdiri dari unsur-unsur api, angina, tanah dan air.
Kedua-dua unsur kejiwaan dan kebadanan ini saling bertindak antara satu dengan yang lain, saling pengaruh mempengaruhi antara satu dengan yang lain. Kalau seseorang itu hatinya susah, atau duka, perasaan ini boleh mempengaruhi jasmaninya seperti tidak lalu makan dan minum dan akibatnya badan jadi kurus dan tidak sihat. Sebaliknya pula kalau badan sakit, fikiran pun runsing dan ini menyusahkan hati dan jiwa. Demikianlah adanya pengaruh mempengaruhi antara jasmani dan rohani.
Penjelasan yang ke- 54
Setiap orang hendaklah seboleh-bolehnya kenal akan dirinya yang sebenar itu iaitu yang berunsur rohaniah atau kerohanian itu supaya ia tidak mensia-siakan hidupnya di dunia fana ini. Hidup kita bukan di dunia ini sahaja. Hidup kita akan berlanjutan hingga kekal abadi di akhirat yang tiada hujungnya. Disana nilai buruk atau baik bukan disukat dari segi kekayaan harta benda, banyaknya anak pinak, bukannya kurniaan bintang atau pingat atau pangkat yang diperolehi di dunia ini. Nilai baik dan buruk seseorang di sana bergantung kepada iman dan amal soleh seseorang itu.
Dengan kenalnya kita akan diri kita yang sebenar itu, kita tidak akan putus asa, tidak takut, tidak bimbang dalam melayari bahtera hidup kita ini. Ini kerana kita tahu diri kita adalah kekasih Allah. Takkanlah orang yang mengasihi seseorang itu akan menganiayai kekasihnya. Sebenarnya Allah kasih akan diri kita lebih dari ibu mengasihi anak kesayangannya. Ia Maha Kasih Sayang terhadap hamba-hambanya.
Dengan mengenal diri kita, tidaklah kita takabur, sombong, bongkak, dengki, iri hati, khianat kerana kita tahu siapa diri kita sebenarnya. Dinisbahkan dengan Allah SWT, kita tiada apa-apa, hanya ayat-ayatNya sahaja. Jika dinisbahkan dengan makhlukNya, diri kita adalah penguasa dan pengurus. Allah menjadikan alam dan makhluk untuk kita (sebagai insan) dan kita untuk Dia. Demikian kata Ahli Sufi.
Penjelasan yang ke- 55
Badan kita yang zahir ini adalah penzahiran diri kita yang batin. Diri kita yang batin itu ghaib dari pandangan mata kasar. Untuk melihat yang batin itu diperlukan bayangannya iaitu diri kita yang zahir ini. Maka itulah dikatakan badan kasar itu hanya ‘sarung’ atau ‘tunggangan’ atau ‘sangkar’ bagi badan yang ghaib itu.
Apabila nyawa berpisah dari badan, maka tinggallah badan itu dan lama kelamaan jadi reput dan hancur kecuali dengan kehendak Allah ada juga badan yang tidak reput setelah lama nyawa meninggalkannya. Tetapi pada kebiasaan atau lumrahnya badan akan hancur binasa. Itulah dikatakan dari tanah kembali semula ke tanah.
Ada juga orang melihat dalam dunia ini ‘bayangan’ atau ‘lembaga’ orang yang telah lama meninggal dunia berlakun dan beraksi sebagaimana hidupnya dalam dunia dahulu. Itu bukanlah badan orang itu sebenarnya. Badannya telah hancur binasa. ‘bayangan’ atau ‘lembaga’ itu adalah dari unsure alam mithal. Alam mithal ini adalah alam yang halus, yang penghuninya atau kandungannya tidak hancur. Ia bukan roh semata-mata dan bukan pula badan semata-mata. Ia adalah antara kedua unsur itu.
Seperti yang kita perjelaskan dahulu, diri kita terdiri dari tiga unsur iaitu unsur badan, yang akan hanur kecuali yang dikehendaki Allah untuk tidak hancur, unsur mithal yang tidak hancur tetapi tersimpan dalam ‘alam mithal’ dan unsure ketiga iailah roh dan ini selama-lamanya hidup, tidak hancur dan tidak kembali lagi ke dunia nyata ini.
‘Lembaga’ atau ‘bayangan’ orang yang telah mati yang kelihatan oleh orang dalam dunia ini dan berlaku seperti mana ia hidup I dunia dahulu, sebenarnya adalah berunsur mithaliyyah (mithal). Sesekali ia kelihatan oleh orang yang hidup dalam dunia ini persis seperti mana hidupna dahulu, bahkan boleh pula berkata-kata dengan orang yang berada dalam dunia ini. Ini telah banyak terjadi dimana sahaja dalam dunia ini, baik di Barat atau di Timur.
Setelah kita faham alam yang tiga itu, maka tidaklah kita hairan kenapa ada orang yang mendakwa melihat si anu dan si anu padahal orang itu telah meninggal dunia. Alam mithal ini ada tetapi tidak kelihatan kecuali mereka yang dibukakan hijab untuk melihat alam itu dan para penghuninya.
Demikian teori sebahagian Ahli Sufi.
Penjelasan yang ke- 56
Untuk mengenal AKU yang hakiki itu perlu berusaha dengan sabar dan perlu panduan guru yang pakar dalam bidang kerohanian dan kesufian, dan banyak berfikir dan berzikir dan memohon taufik dan hidayah dari Allah SWT. AKU kita ini ibarat sagu, perlu dipecahkan ruyung, barulah dapat sagunya. Memecah ruyung itu hendaklah dengan petunjuk orang yang telah pakar memecahkan ruyung yang tahu cara bagaimana memecahnya dan alat pemecahnya pula mestilah yang sesuai.
Satu lagi ibarat, AKU yang hakiki yang dikatakan bayangan atau ayat atau penzahiran Yang Maha AKU (iaitu Allah) itu ibarat matlamat atau destinasi yang dituju. Sebelum sampaike destinasi itu perlulah kita mengembara atau berjalan dengan kenderaan atau tanpa kenderaan menuju tempat yang di tuju itu. Supaya kita tidak tersesat, kita perlu si penunjuk jalan atau ‘guide’ agar kita sampai ke tempat yang sebenarnya. Kita perlu pula kenderaan supaya cepat sampai, kalau berjalan kaki sahaja tanpa kenderaan lambatlah sampai. Setelah sampai perlulah kita mendapat pengesahan dari si penunjuk jalan bahawa tempat yang kita tuju itu telah sampai, maklumlah tempat yang kita tuju itu belum pernah kita lihat, mungkin kita was-was atau ragu-ragu adakah itu tempatnya. Setelah sah itulah tempat yang kita tuju, maka tamatlah pengembaraan kita. Apabila kita telah berada dalam tempat yang dituju itu, maka bebaslah kita menikmati dan merasai atau mengalami keadaan di tempat tersebut.
Seperti kata orang-orang sufi, ” Barangsiapa kenal dirinya akan kenal Tuhannya”. Mengenal Allah melalui mengenal diri itu adalah jalan atau cara orang-orang sufi. Ini bukan bererti diri kita itu sama dengan Tuhan. Diri kita tetap kita. Diri kita bukan Tuhan. Allah tetap Allah tanpa sekutu dengan yang lain. Diri kita tetap diri kita juga. Tetapi dengan mengenal diri itu apatlah kita mengenal Allah.
Seperti yang kita perjelaskan dalam penjelasan-penjelasan yang terdahulu, AKU atau diri kita ini adalah ayat-ayat atau tanda-tanda atau bayangan Tuhan. Zat Tuhan itu, digelar oleh Ahli Sufi sebagai ‘Kunhi Zat’ (semata-mata Zat), tidak sampai kedalam pengetahuan atau ilham atau kasyaf kita. Pendeknya ilmu dan kasyaf kita tidak sampai kesana. Tetapi bayanganNya atau ayat-ayatNya atau penzahiranNya dapat kita kenali.
Matahari itu silau mata kita memandangnya tetapi bayangannya dalam air dapat kita pandang tanpa merosakkan mata. Angin tidak dapat dilihat tetapi kalau daun bergoyang itulah tanda adanya angina. Pedas tidak dapat dilihat, tetapi cabai atau cili dapat dilihat. Inilah perumpamaan atau ibarat. Fikirkanlah.
Kita ini ibarat bayang, daun, cabai tadi. Dengan melalui bayang dapat dikenali yang empunya bayang. Dengan melihat daun bergoyang, dapat diketahui adanya adanya angina. Dengan cabai dapatlah kita merasai pedas.
Paling penting bertanyalah kepada orang yang ahli dalam bidang kerohanian dan kesufian ini. Janganlah ditanya kepada yang bukan ahlinya, kerana tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya. Ahli ilmu itulah yang faham dan mengerti tentang ilmu yang diketahui dan diamalnya.
Penutup
Demikianlah serba ringkas tentang perkara AKU ini menurut pandangan Falsafah Kesufian. Sekiranya ada salah dan silap haraplah perbetulkan kerana penulis bukanlah seorang yang pakar dalam bidang ini, tetapi hanya sekadar ‘penterjemah’ yang menterjemahkan idea-idea dalam ilmu penterjemah yang singkat ini dalam bidang Falsafah Kesufian atau Falsafah Tasawuf kedalam risalah ringkas ini dengan bahasa Malaysia yang mudah untuk difahami oleh orang awam.
Semoga risalah ringkas ini dapat menambahkan satu lagi perbendaharaan buku atau risalah dalam kutub khannah atau perpustakaan buku-buku atau risalah-risalah Kesufian atau Tasawuf dalam bahasa Malaysia untuk mereka yang tidak faham membaca buku-buku atau risalah-risalah Kesufian dalam bahasa lain.
Mudah-mudahan Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita sekalian.
Amin, amin, Ya Rabbal’alamin.
TAMAT