Rahsia syariat….
March 4, 2009Mukaddimah
March 4, 2009Segala pujian terkhusus bagi Allah s.w.t, Pencipta sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta seluruh pejuang kebenaran sehingga akhir zaman.
Manusia merupakan makhluk istimewa dicipta oleh Allah s.w.t namun, keistimewaan tersebut bergantung kepada realiti dirinya, kesedaran serta ketaatan terhadap apa yang diperintahkan oleh Penciptanya. Kemuliaan manusia sehingga dilantik menjadi khalifah dan diangkat menjadi rasul-rasul dan nabi-nabi adalah membuktikan tentang hakikat kejadian tersebut serta tanggungjawab yang bakal dipikul olehnya.
Cabaran duniawi yang besar serta liputan kebenaran yang sentiasa tertutup oleh pandangan kebendaan, hawa nafsu dan dorongan jiwa yang rendah menyebabkan manusia sentiasa mencari jalan-jalan yang pelbagai. Ada yang cuba mengerti hakikat kejadian alam dan keindahan; lalu ia tersungkur dengan keindahan alam yang tidak berpenghujung kepada Penciptanya. Ada yang mencari kedamaian dengan melalui pelbagai jalan yang difikir oleh akal, tanpa panduan Ilahi; lalu ia melalui jalan-jalan kesesatan dan berakhir dengan kefanaan dalam kesesatan. Benarlah wahyu Allah s.w.t dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
Betapa banyak angin yang bertiup mematikan lampu-lampu,
Betapa ramai abid, musnah disebabkan rasa bangga dan ujub,
Betapa ramainya orang kaya, musnah kerana kekayaannya,
Betapa ramai orang fakir, musnah kerana kefakirannya,
Betapa ramai orang yang sihat, musnah kerana kesihatannya,
Betapa ramai orang alim, musnah kerana ilmunya,
Betapa ramai orang jahil, musnah kerana kejahilannya
Pencarian jalan yang benar mestilah lahir dari kesedaran yang benar kemudian melalui hanya lorong-lorong makrifah yang telah dirintis oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Pencarian ini bilamana telah melalui jalannya yang benar, bukan sekadar mampu mengutip mutiara keindahan makrifah, tetapi jauh di sebalik itu, ialah kemampuan untuk membawa dan membesarkan laluan tersebut, agar dengannya tidak akan membawa manusia ke jalan yang sesat, dan memandu manusia lain untuk melalui jalan tersebut.
Sebahagian manusia takut untuk melalui jalan-jalan yang masih kabur, agar ia selamat dari kesesatan; walaupun di saat yang sama ia berada dalam kegelapan. Terdapat pula kumpulan yang berhati-hati untuk menempuhi jalan-jalan ini. Tindakan ini ada kebaikannya, kerana bilamana datang pertunjuk dan panduan maka ia akan menerangi jalan-jalan yang gelap tersebut, dan ia seharusnya menjalani jalan-jalan tersebut setakat yang ia yakin dengan kebenarannya. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Kilat itu pula hampir-hampir menyambar penglihatan mereka; setiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya) mereka berjalan dengan cahayanya, dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka menunggu dengan kebingungan. Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha berkuasa di atas segala sesuatu”.
Namun apa yang lebih membimbangkan ialah ketakutannya untuk mencari dan meneliti jalan-jalan kebenaran menyebabkan ia terus berhenti di atas kesesatan yang berpanjangan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Mereka (seolah-olah) orang yang pekak, bisu dan buta. Dengan keadaan itu mereka tidak akan dapat kembali kepada kebenaran”.
Hakikat kebenaran bukanlah jalan yang sukar, kerana laluannya dipenuhi dengan lampu pertunjuk yang sentiasa menerangi manusia. Hanya keinginan untuk menempuhi jalan-jalan tersebut serta kejahilannya menyebabkan ia menyangka jalan-jalan kenabian dan kerasulan, dengan berpegang kepada Islam, akan menyebabkan mereka tidak lagi dapat menikmati keindahan duniawi, lalu kehidupannya akan malap dan tidak bersinar (ceria). Bisikan kebatilan ini terus menghantui jiwa manusia, lantaran itulah jalan-jalan kebenaran walaupun telah diterangi dengan panduan cahaya pertunjuk Ilahi, masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya.
Kita tidak seharusnya menafikan juga kebimbangan ini disebabkan oleh sejarah lampau yang menakutkan manusia untuk melalui jalan-jalan tarekat dan tasauf, yang terlalu banyak didorongi oleh nilai-nilai mistik yang mengelirukan, bercampur dengan penyelewengan dan kekeliruan yang dibina di atas nama tarekat dan tasauf; tambahan pula perkembangan ideologi rasionalisma yang menguasai dunia kini yang disertakan dengan budaya lojik yang terpahat dalam minda manusia kini, menyebabkan jalan-jalan ini tidak mendapat kedudukan yang sepatutnya. Lantaran itu, keindahan syariat Islam hanyalah serpihan yang berkecai dalam setiap sudut. Ia umpama permata yang tiada sinar atau bunga yang telah hilang madunya, maka jadilah manusia kini sebagai manusia yang telah hilang kemanusiaannya.
Buku Kebenaran Hakiki tulisan saudara Mohamad Nasir diharapkan menjadi pembuka minat kepada umat Islam untuk mengetahui kebenaran dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Dengan menggunakan pendekatan yang mudah serta persembahan yang menarik, maka diharapkan pembaca akan lebih dekat memahami beberapa persoalan yang berlaku dalam sejarah umat Islam; di samping panduan dalam kehidupannya. Pendekatan yang beliau gunakan dalam penulisan ini bukanlah sesuatu yang asing atau baru; hanya masing-masing penulis mengolah dengan gayanya tersendiri dan beliau adalah sebahagian dari umat Islam yang memikirkan sesuatu sumbangan yang boleh diberikan kepada perjuangan dan kemurniaan aqidah Islam.
Meneliti nukilan saudara Nasir, maka saya mempunyai anggapan besar ia akan menjadi suatu hasil penulisan yang cuba menjelaskan hakikat jalan-jalan yang indah, yang cuba dikongsikan bersama pembaca yang lain. Walaupun hakikat keindahan sesuatu tidak akan sama antara yang melalui dan merasainya dengan segolongan yang hanya mengetahui melalui pembacaan atau mendengar dari seseorang yang menempuhi jalan-jalan tersebut, “Keenakan sebiji buah hanya dapat dihayati oleh yang memakannya”, namun diharapkan ianya menjadi pendorong yang kuat kepada semua pembaca untuk meneruskan penelitian dan pengamatan terhadap jalan-jalan kebenaran yang murni ini, agar seluruh keindahan Islam dapat dihayati dalam ertikata sebenar, zahir dan batin.
Saya mengakui pengamatan yang singkat yang saya lakukan mungkin mempunyai banyak kelemahan, namun dengan rendah diri saya memohon tunjukajar dan pandangan baik semua pembaca. Penulisan ini diharapkan menjadi dorongan kepada penulis untuk terus berkecimpung memberikan sumbangan untuk kemajuan dan meningkatkan lagi khazanah ilmuan Islam.
Semoga diberkati Allah s.w.t.
Akhukum fil Islam
Dato’ Haji Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Pensyarah Kanan
ITM Cawangan Pahang
20 April 1999.