Penutup
March 5, 2009Negeri Sembilan
March 5, 2009Ahmadiah Bukit Abal Kelantan
S. Ahmad Idis
S. Ibrahim Rashid
S .Muhammad Dandarawi
S. Muhammad AlAzahari
TUAN TABAL(Haji Abdul Samad b. Mohd. Saleh al-Kalantani) –
PENYEBAR THARIQAT AHMADIYAH PERTAMA DI NUSANTARA
Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan. Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.
KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN
Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.
Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur. Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa’id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.
AKTIVITI
Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,”… orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal …” Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau. Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato’ Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.
PENULISAN
Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:
1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.
2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.
3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.
4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis “… al-Awbah …” bukan ” … Auwab …”. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).
5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.
6. Bidayatu Ta’limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.
7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.
8. Mun-yatul Muridin fi Ba’dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.
Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad, Mufti Haji Wan Musa dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya.
Tn Guru Haji daud Bukit Abal
Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal (1903 – 1976)
Syeikh tarekat Ahmadiyah Idrisiah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa / Sidi Muhammad al-Azhari / Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat / Gong Kemudu.
Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin b. Hj. Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad b. Haji Ismail. Manakala bapanya, Hj. Omar b. Hj. Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.
Antara guru-guru awalnya ialah Hj. Awang Limbat, Tok Kenali, Tok Seredik, Maulana Tok Khurasan dan lain-lain. Beliau pernah belajar di Mekah dengan beberapa guru seperti Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan Syeikh Mohd. Shafie Kedah dan lain-lain.
Setelah kembali dari Mekah pada awal tahun1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula pondok peninggalan bapa mertuanya, Hj. Awang Limbat.
Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan – mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan para muridnya, beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956) dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.
Beliau telah meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976. Antara muridnya yang terkenal ialah Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam), Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi dan Drs Abdul Rahman Hj Ahmad.
Menurut Guru kami, sewaktu Tuan Guru Haji Daud meninggal telah berlaku satu peristiwa yang pelik iaitu kedatangan manusia yang sangat luarbiasa ramainya malah tidak diketahui dari mana datangnya sehingga memaksa pihak berkuasa mengawal keadaan dan lalulintas. Malah pengurusan dan penghantaran jenazah beliau dari rumah ke tempat pengebumiannya sangat cepat kerana orang ramai meng’pas‘-‘pas‘kan jenazah beliau dari kediamannya hingga ke tanah perkubururan dimana beliau dikebumikan..
Al-Fatihah untuk Tuan Guru.
Silsilah Tareqat Ahmadiah Idrisiah Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi
1) Sayyidina Muhammad bin Abdullah s.a.w
2) Sayyidi Imam Ali Karramallahu Wajhah.
3) Sayyidi Al Kurkhi. Hasan bin Ali.
4) Sayyidi Al Hasan Al Basri.
5) Sayyidi Habib Al Ajami.
6) Sayyidi Daud bin Nasir at Toie.
7) Sayyidi Maaruf bin Fairuz
8) Sayyidi Sirri bin Al Mughlas as Siqti.
9) Sayyidi Abul Qasim Junaid Al Baghdadi.
10) Sayyidi Abu Bakar bin Jahdar Asy Syibli.
11) Sayyidi Abu Al Fadhl at Tamimi.
12) Sayyidi Abu Al Farj at Tortusi.
13) Sayyidi Abu Ali Al Hasan bin Yusof.
14) Sayyidi Said Al Mubarak.
15) Sayyidi Abdul Qadir Al Jailani.
16) Sayyidi Abdur Rahman Al Madani.
17) Sayyidi Abdul Salam Mashish.
18) Sayyidi Abul Hasan as Syazili.
19) Sayyidi Abu Al Abbas Al Mursi.
20) Sayyidi Ahmad bin Atho’ilah as Iskandar.
21) Sayyidi Daud bin Bakhili.
22) Sayyidi Muhammad Bahru Sofa.
23) Sayyidi Ali bin Muhammad bin Wafa.
24) Sayyidi Yahya Al Qadiri.
25) Sayyidi Ahmad bin Aqabah Al Hadrami.
26) Sayyidi Ahmad bin Zaruq.
27) Sayyidi Ahmad bin Yusof Al Ghilani.
28) Sayyidi Ali bin Abdullah al Ghilani.
29) Sayyidi Abul Qasim Al Ghazi.
30) Sayyidi Ahmad bin Ali Al Haj Ad Dar’ei.
31) Sayyidi Muhammad bin Nasir.
32) Sayyidi Al Izzi Al Ghishtali.
33) Sayyidi Umar bin Muhammad Al Hawari.
34) Sayyidi Abdul Aziz bin Mas’ud Ad Dabbagh.
35) Sayyidi Abdul Wahab at Tazi.
36) Sayyidi Qutub an Nafis Ahmad bin Idris Al Hasani.
37) Sayyidi. Ibrahim Rashid
38) Sayyidi .Muhammad Dandarawi
39) Sayyidi Muhammad AlAzahari
40) Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
41) Ustaz Zakaria Awang