Fana dalam wahyu baqa dalam ubudiyah
March 4, 2009Jalan kenabian
March 4, 200905. Jalan para sahabat r.a
Kaum Muslimin yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kecemerlangan dalam apa juga bidang yang mereka ceburi dan apa juga suasana yang mereka berada di dalamnya. Mereka mampu bertahan ketika menghadapi ujian bala bencana, menanggung penghinaan, ejekan, penentangan dan penyiksaan sehingga mereka terpaksa mengharungi lautan ke Habsyah dan meredah padang pasir ke Yasrib demi menyelamatkan agama mereka. Di hadapan Raja Habsyah, Jaafar bin Abu Talib selaku ketua Muhajirin di Habsyah, telah memberi penerangan lengkap dan jelas mengenai Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam, mematahkan hujah wakil pihak Quraisy yang menuntut agar kaum Muslimin dihantar pulang ke Makkah. Jelas sekali para sahabat Rasulullah s.a.w bukan sahaja memiliki ketahanan jiwa menanggung kesusahan malah mereka juga memiliki kecerdasan akal fikiran. Mereka adalah duta-duta Rasulullah s.a.w, menterjemahkan sifat-sifat baginda s.a.w iaitu benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Mereka boleh berdiri di hadapan sesiapa sahaja bagi menyampaikan kebenaran secara bijaksana. Apa yang terbit dari mereka adalah bakat-bakat dan sifat-sifat Roh Islam yang tulen yang memenuhi seluruh rongga tubuh mereka dan setiap ruang hati mereka. Ketulenan Roh Islam yang mengendalikan kehidupan mereka menyebabkan mereka Islam pada perkataan, Islam pada perbuatan dan Islam pada amalan hati.
Ketulenan Roh Islam lahir apabila ia digilap dengan cara mengesakan Allah s.w.t, mengabdikan diri kepada-Nya dengan beramal salih dan bertakwa serta mengasihi saudara Muslimnya apa yang dikasihi untuk dirinya sendiri. Apabila jalan atau tarekat tersebut diikuti akan muncullah Roh Islam yang sejati dan tulen. Ketulenan itu diuji pula dengan dihadapkan kepada ujian bala bencana, penekanan pada zahir dan batin. Jika ujian bala tidak mencederakan iman maka sahlah ketulenan Roh Islam seseorang Muslim itu. Begitulah tarekat yang didukung oleh kaum Muslimin yang diasuh secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Mereka tundukkan jasad kepada pemerintahan roh dan roh ditundukkan kepada perintah Allah s.w.t yang disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Roh Islam tidak dikuasai oleh sesuatu melainkan kekuasaan Allah s.w.t. Roh Islam merdeka dari segala sesuatu kecuali Allah s.w.t, Rasul-Nya dan agama-Nya. Apa juga kekacauan yang melanda dunia tidak akan sampai kepada Roh Islam selagi orang Islam tidak menjualkan akhiratnya untuk kebendaan dan duniawi.
Kaum Muslimin dibimbing oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w dibimbing oleh Jibrail a.s. Jibrail a.s dibimbing oleh Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w telah memasuki satu jalan khusus untuk baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w memasuki alam khalwat sewaktu berusia 36 tahun. Baginda s.a.w pergi ke Gua Hiraa melalui bimbingan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya:
Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – al-Quran)? ( Ayat 7 : Surah adh-Dhuha )
Tuhan yang memimpin Nabi Muhammad s.a.w ke Gua Hiraa. Pimpinan yang demikian dinamakan Tarikan Rahmani atau tarikan yang langsung dari Allah s.w.t. Ketika mencari kebenaran Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada pendeta Yahudi dan Nasrani yang terkenal alim mengenai kitab-kitab dari langit dan juga ilmu falsafah. Baginda s.a.w pergi ke Gua Hiraa yang gelap gelita, meletakkan sepenuh harapan dan pergantungan kepada Allah s.w.t. Apa yang dicari oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak dapat dihurai dan dibukakan oleh sesiapa sahaja kecuali Allah s.w.t. Apa yang Allah s.w.t berkehendak mengurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w melebihi apa yang mampu diberikan oleh manusia.
Setelah fitrah suci baginda s.a.w menerima pembukaan dengan kedatangan wahyu yang pertama, selesailah urusan berkhalwat. Khalwat di Gua Hiraa telah memberikan makna yang besar kepada penghidupan Nabi Muhammad s.a.w. Latihan tersebut menjadi asas yang kukuh di dalam pembentukan keperibadian dan kekuatan jiwa Nabi Muhammad s.a.w. Hasilnya rohani dan jasmani baginda s.a.w mampu bertahan menerima kunjungan wahyu yang maha berat dan ia juga membuatkan baginda s.a.w mampu melakukan Israk dan Mikraj di kemudian hari nanti. Tanpa kekuatan yang diperolehi di Gua Hiraa mungkin jasad dan roh baginda s.a.w akan hancur bila ‘dihempap’ oleh wahyu dan bila baginda s.a.w memasuki alam tinggi ketika Mikraj. Hanya golongan nabi-nabi yang dipersiapkan untuk menjadi cukup kuat bagi menerima kedatangan wahyu dan juga memasuki alam tinggi. Golongan yang selain nabi-nabi, walaupun siddiqin dan salihin, mereka hanya menerima percikan wahyu dan memasuki alam tinggi secara pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf, tidak secara langsung seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian siddiqin dan salihin juga wajib merujuk kepada wahyu di dalam menentukan kebenaran sesuatu perkara. Siddiqin yang paling utama, Abu Bakar as-Siddik, juga tertakluk kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada fikiran, ilham dan kasyaf orang siddik dan salih yang bebas daripada wahyu. Kenyataan ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w tidak meninggalkan khalwat sebelum wahyu datang. Para sahabat tidak meninggalkan Rasulullah s.a.w, sentiasa mentaati baginda s.a.w dalam apa perkara sekali pun.
Setelah wahyu datang tamatlah peringkat khalwat yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w sebagai penterjemah wahyu yang paling arif menyampaikan ajaran wahyu kepada pengikut-pengikut baginda s.a.w tanpa membawa mereka memasuki proses khalwat baik di Gua Hiraa atau di mana-mana gua. Tarekat atau jalan sebelum kedatangan wahyu dengan selepas kedatangan wahyu adalah berbeza. Wahyu membawa Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut baginda s.a.w memasuki tarekat kehidupan harian di atas muka bumi, di dalam dunia, secara bertauhid dan beramal salih serta bertakwa. Semua itu dilakukan dengan memperakui dan memelihara kewujudan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Golongan hamba yang telah memeluk agama Islam memperakui kedudukan mereka sebagai hamba. Tidak ada hamba yang memeluk Islam lari dari tuan mereka. Mereka tetap menghormati institusi kemasyarakatan sekalipun telah memilih Islam yang mempunyai institusinya sendiri. Golongan pedagang terus juga berdagang. Golongan pertukangan dan pertanian terus juga bertukang dan bertani. Tidak ada di antara mereka yang meninggalkan urusan kehidupan harian lantaran mahu berkhalwat secara khusus seperti yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Islam tidak mengubah kehidupan harian. Apa yang Islam buat adalah menyusun semula kehidupan itu agar ia menjadi jalan yang lurus menuju kebaikan di dunia dan di akhirat dan seterusnya menemui Tuhan Rabbul Jalil.
Muslim generasi pertama telah membina asas jalan yang lurus dengan keringat dan darah mereka, dengan harta dan jiwa mereka. Generasi yang datang kemudian dapat berjalan di atas jalan lurus yang sudah siap di bina, tidak perlu lagi membina jalan yang lain. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w yang berjuang menegakkan jalan yang lurus itu tidak melepaskan sifat-sifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana dalam segala urusan termasuklah ketika bertawakal, berserah diri dan beriman kepada Qadak dan Qadar. Mereka beriman kepada takdir dan berserah diri secara bijaksana dan benar. Mereka melihat tanda mereka berserah diri kepada Tuhan adalah mereka menggunakan segala bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka untuk bergerak di atas jalan yang lurus, melakukan amal salih dan bertakwa. Mereka melihat bahawa tanda mereka beriman kepada takdir adalah mereka menggunakan segala kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan yang benar kerana yang demikian itulah takdir yang paling benar, sementara yang lain itu hanyalah bayangan takdir yang samar-samar dan tidak layak diimani.
Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan contoh teladan yang benar mengenai konsep beriman kepada takdir dan bertawakal. Baginda s.a.w cenderung bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan biasa dengan menggunakan bakat kemanusiaan seperti orang ramai. Pada malam pemuda-pemuda Quraisy mengepung rumah baginda s.a.w untuk membunuh baginda s.a.w, baginda s.a.w telah menyuruh Saidina Ali bin Abu Talib tidur di tempat baginda s.a.w biasa tidur dan Saidina Ali diselimutkan dengan kain selimut baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w menggunakan strategi, kebijaksanaan dan helah kemanusiaan untuk mengalahkan kumpulan yang mahu membunuh baginda s.a.w itu. Setelah keluar dari rumah, baginda s.a.w bersama-sama sahabat paling akrab, Saidina Abu Bakar, bersembunyi di dalam Gua Saur. Rancangan persembunyian di sana telah di atur dengan sangat rapi sehingga rahsia tersebut tidak bocor. Semasa di dalam persembunyian itu maklumat sentiasa di hantar kepada baginda s.a.w oleh anak lelaki Saidina Abu Bakar. Makanan disediakan oleh bekas hamba Saidina Abu Bakar yang mengembalakan kambing Saidina Abu Bakar di kaki Bukit Saur. Semua jejak yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar dihapuskan sehingga tidak ada tanda-tanda yang mereka bersembunyi di Gua Saur. Sekali lagi kaum musyrikin ditewaskan oleh kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja keadaan di dalam negeri Makkah reda dan tenang sedikit dan telah ada ruang untuk Rasulullah s.a.w bergerak, maklumat tersebut dengan pantas dihantarkan oleh anak Saidina Abu Bakar dan dengan segera pula Rasulullah s.a.w bertindak di atas kesempatan yang terbuka itu. Unta-unta Saidina Abu Bakar yang kuat, yang dijaga khusus untuk tujuan hijrah itu, dan bekalan makanan dengan segera dihantarkan ke Gua Saur. Rasulullah s.a.w bersama-sama Saidina Abu Bakar, dengan dipandu oleh jurupandu yang mahir, bersegera meninggalkan Gua Saur. Pergerakan yang begitu pantas hanya boleh terjadi dengan perancangan yang rapi dan bijaksana. Setelah meninggalkan Gua Saur baginda s.a.w mengambil jalan yang bertentangan dengan arah Yasrib. Jalan yang paling sukar dan paling tidak di sangka telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. Selepas melepasi kawasan bahaya baharulah Rasulullah s.a.w membelok ke arah Yasrib.
Tidak ada pengkaji sejarah yang tidak berasa kagum dengan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. Kebijaksanaan baginda s.a.w sudah menyerlah ketika baginda s.a.w masih muda belia lagi. Kekuatan akal baginda s.a.w dapat mengalahkan kekuatan akal semua manusia. Semua akal tunduk kepada akal yang mendapat pembukaan daripada Allah s.w.t. Kebijaksanaan merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w yang sangat ketara. Ketika suku-suku Quraisy sudah sampai kepada peringkat mahu berperang sesama sendiri akibat kebuntuan akal mereka menentukan siapakah yang layak meletakkan semula Hajaral Aswad ke tempat asalnya setelah Kaabah dibina semula, Nabi Muhammad s.a.w yang pada masa itu masih seorang pemuda, dengan mudah sahaja menyelesaikan pertikaian tersebut, tanpa memerlukan masa untuk berfikir, tanpa meminta pendapat sesiapa dan tanpa ragu-ragu baginda s.a.w mengeluarkan formula yang diterima oleh semua orang. Kebijaksanaan baginda s.a.w menjadi lebih sempurna lagi setelah mendapat penerangan daripada wahyu. Tidak ada sepatah pun perkataan baginda s.a.w yang sia-sia. Tidak ada satu pun perbuatan baginda s.a.w yang tidak bermanfaat. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja di dunia ini yang setiap patah perkataan dan setiap perbuatannya direkodkan. Hingga kini belum ditemui sebarang kesilapan pada perbuatan dan perkataan baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w melaksanakan segala tugas dengan cemerlang, dengan menggunakan bakat dan keupayaan kemanusiaan. Memang benar baginda s.a.w dikurniakan mukjizat tetapi mukjizat hanya datang setelah baginda s.a.w menggunakan bakat kemanusiaan dalam melaksanakan tugas. Baginda s.a.w tidak melemparkan sifat-sifat kemanusiaan lantaran kunci mukjizat berada dalam tangan. Bahkan keupayaan baginda s.a.w menyelesaikan masalah kemanusiaan dengan menggunakan bakat kemanusiaan merupakan mukjizat yang sangat luar biasa. Baginda s.a.w telah membuktikan bahawa seseorang insan yang dapat mempertahankan sifat-sifat kemanusiaan dan kehambaan dalam segala keadaan dan makam itulah perkara yang sangat luar biasa. Di bumi, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Di langit, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Bahkan di hadapan Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w sujud sebagai hamba-Nya dan Rasul-Nya. Tidak terbalik pandangan baginda s.a.w lantaran berlaku perubahan stesen dan makam.
Peristiwa hijrah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada umat manusia agar mereka menghargai bakat dan keupayaan kemanusiaan yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w telah mengajarkan bahawa menggunakan akal fikiran, mengadakan strategi dan perancangan serta melakukan ikhtiar dan usaha adalah sebahagian daripada pakej beriman kepada takdir, bertawakal dan berserah diri. Jika ada orang yang mentafsirkannya secara lain tentu sekali tafsirannya berbeza dengan tafsiran yang dikeluarkan secara nyata melalui perbuatan oleh Rasulullah s.a.w.
Sebelum kedatangan wahyu Nabi Muhammad s.a.w memasuki amalan berkhalwat. Setelah wahyu datang baginda s.a.w dibimbing oleh wahyu untuk membimbing umat manusia. Baginda s.a.w membawa pengikut-pengikut baginda s.a.w meredah lautan bala bencana, menanggung penyiksaan dan menghadapi penentangan kerana semua itu adalah batu ujian yang menggilap iman. Tarekat khalwat sudah berubah menjadi tarekat kehidupan harian yang penuh dengan ujian bala bencana.
Rasulullah s.a.w dan Muslim generasi pertama berjalan di atas ranjau kehidupan, menghadapi kezaliman dan menanggung penderitaan. Keluarga Yasir yang menjadi hamba kepada suku Banu Makhzum telah diseksa dengan sangat teruk sekali. Mereka dijemur di lembah Makkah diwaktu panas terik dengan diletakkan batu di atas dada mereka. Rasulullah s.a.w menziarahi keluarga Yasir dan memberikan kekuatan rohani kepada mereka. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bergembiralah wahai keluarga Yasir. Kamu akan mendapat tempat di dalam syurga”. Ucapan Rasulullah s.a.w itu menjadi penawar yang sangat mujarab, memberi kekuatan kepada keluarga Yasir untuk menanggung penderitaan yang sedang menimpa mereka. Mereka mampu mempertahankan iman mereka dengan penuh kesabaran. Mereka telah terhibur dengan janji yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka sedikit pun tidak berasa ragu dengan jaminan Rasulullah s.a.w itu. Mereka telah mencium bau syurga dan ia menjadikan mereka tenang, reda dengan takdir Tuhan. Kebahagiaan syurga yang menunggu di hadapan menyapu segala kesakitan yang sedang dialami.
Walaupun diseksa dengan hebatnya oleh Banu Makhzum namun keluarga Yasir tidak berganjak daripada kepercayaan mereka. Usaha untuk membawa mereka kepada kekufuran hanya sia-sia. Orang Banu Makhzum yang gagal mengubah akidah keluarga Yasir, menjadi kerasukan syaitan. Apabila syaitan sudah menguasai mereka sepenuhnya hilanglah keperimanusiaan mereka. Dada Yasir direjam dengan tombak. Samyah, isteri Yasir, menjadi lebih bersemangat dan berani menentang tuannya. Banu Makhzum tidak tahu hendak buat apa lagi dengannya. Samyah diserahkan kepada Abu Jahal yang ikut serta menyeksa keluarga Yasir itu. Abu Jahal yang bersekutu dengan iblis, mengambil sebilah tombak dan dengan sekuat-kuat tenaganya merejamkan tombak itu ke bahagian kemaluan Samyah hingga tembus ke belakang. Keluarlah dua roh suci, naik kepada Tuhan mereka, membawa kemenangan di dalam mempertahankan tauhid. Yasir dan isterinya Samyah menjadi syuhada yang pertama dalam Islam. Nama mereka yang diukir dengan tinta emas tidak mungkin padam dari lembaran sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Yasir dan Samyah mendahului para syuhada yang lain, menunggu mereka di pintu syurga.
Selain Yasir dan keluarganya, Bilal bin Rabah dan ibunya juga menerima seksaan yang berat daripada tuan mereka. Mereka menjadi hamba kepada Umayyah bin Khalaf. Bilal menghadapi segala penyeksaan ke atasnya dengan semangat yang kental. Bilal berkata kepada tuannya: “Walaupun tuan cincang lumat badan saya, tuan pisahkan roh dari tubuh saya, namun agama ini tetap saya anuti dan saya pertahankan sedaya upaya saya. Tubuh saya tidak memerlukan makanan yang enak atau pakaian yang cantik atau kehidupan yang selesa. Roh saya yang memerlukan makanan dan pakaian dan perlu dipersucikan. Kini saya sudah temui yang dapat memenuhi keperluan roh saya sebanyak mungkin. Saya tidak memerlukan apa-apa lagi dari tuan. Sia-sia sahaja tuan menghalangi saya dari mendapatkan yang demikian”.
Ketegasan Bilal menambahkan kemarahan Umayyah. Tangan Bilal diikat dan lehernya dibelit dengan rantai yang berduri. Bilal tidak diberi makan dan minum. Usaha yang kejam itu gagal meruntuhkan iman Bilal. Kemudian Bilal diheret mengelilingi kota Makkah. Orang ramai mengejeknya sambil membalingnya dengan batu. Tindakan begini juga tidak menggugat iman Bilal. Apabila sampai berhampiran dengan Kaabah Bilal menjerit sekuat-kuat hatinya: “AHAD! AHAD! AHAD!” Perkataan inilah yang sangat dibenci oleh kaum musyrikin Quraisy. Bilal tidak putus-putus menyebut Ahad, Ahad, Ahad. Bilal dibawa pula ke padang pasir yang sangat panas. Beliau dipakaikan baju perang (baju besi). Bilal yang dipakaikan baju besi itu dijemur di tengah panas yang sangat terik. Iman Bilal terus memancar. Perkataan Ahad terus keluar dari celah bibirnya. Orang musyrikin sudah tidak dapat menahan geram lagi. Mereka beramai-ramai mengangkat seketul batu besar dan diletakkan di atas dada Bilal. Nun di atas sana matahari ‘menyala’. Di bawah pula pasir ‘membara’. Di antara keduanya adalah Bilal yang berpakaian baju besi dan ditindih pula oleh batu besar. Bilal tidak nampak matahari, pasir atau batu besar. Bilal tidak merasakan kepanasan atau keberatan. Bilal hanya melihat satu sahaja iaitu Yang Maha Satu, Maha Esa, Ahad! Bilal menikmati kelazatan menyaksikan Yang Maha Esa. Dari celah bibirnya, dengan nada yang perlahan dan tersekat-sekat, masih lagi keluar ucapan: “Ahad! Ahad! Ahad!” Dengarlah Bilal bermunajat: “Jika mereka mahu membunuh aku agar aku menyengutukan Tuhan ar-Rahman, biarlah aku mati daripada aku berbuat demikian. Aku lebih takut menyengutukan Allah. Allahumma! Tuhan Ibrahim, Tuhan Yunus, Tuhan Musa dan Tuhan Isa. Selamatkan iman daku!”
Bilal telah lulus ujian makam keesaan. Bilal sudah memperolehi pancaran Ahadiyyah. Allah s.w.t menghantarkan wakil-Nya untuk menyelamatkan hamba-Nya yang telah membuang segala sesuatu dari hatinya selain Allah s.w.t. Abu Bakar, lelaki benar lagi jujur, datang ke tempat Bilal yang sedang teruk diseksa. Abu Bakar mahu membeli Bilal yang imannya sudah dibeli oleh Allah s.w.t. Apakah Umayyah mahu melihat Bilal mati dan dia kerugian? Umayyah mengambil peluang yang ditawarkan oleh Abu Bakar. Bilal dijualkan kepada Abu Bakar dengan harga lima kali lebih mahal daripada harga biasa seorang hamba. Abu Bakar membayarnya tanpa tawar menawar. Abu Bakar cuba mengangkat batu yang di atas dada Bilal tetapi tidak berdaya. Beliau naik berang. Disergahnya orang-orang yang berada di tempat itu. Baharulah mereka datang mengangkat batu tersebut. Baju besi juga ditanggalkan dari tubuh Bilal. Bilal sudah bebas dari matahari yang menyala dan pasir yang membara. Bilal sudah bebas dari batu yang menindih dadanya. Bilal sudah bebas dari baju besi yang membungkusnya. Bilal bertanya kepada Abu Bakar: “Adakah tuan membeli saya untuk menjadi hamba tuan?” Abu Bakar menjawab: “Demi Allah, wahai Bilal engkau aku bebaskan”. Bebaslah Bilal sepenuhnya dari segala bentuk perhambaan kecuali kehambaan terhadap Allah s.w.t. Ibu Bilal, Hamamah, juga dibeli oleh Abu Bakar dan dimerdekakan. Lain-lain hamba yang dibeli dan dibebaskan oleh Abu Bakar adalah Amir bin Furahah (lelaki yang mengembala kambing di kaki Gunung Saur sewaktu Rasulullah bersembunyi di sana sebelum berangkat ke Madinah), Abu Fukaihah, Zinnirah, Ummu Ubais, an-Nahyah dan anak perempuannya, Khabbab bin al-Aratti (lelaki yang berada bersama-sama adik perempuan Umar al-Khattab dan suaminya ketika Umar menerpa masuk dan merampas lembaran yang tertulis ayat al-Quran yang sedang dibaca oleh adiknya) dan seorang hamba perempuan kepada Banu Zuhrah.
Rasulullah s.a.w dan Muslim telah menjalani tarekat ujian bala. Mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman, rumah tangga, kaum keluarga, harta benda dan pekerjaan demi menyelamatkan akidah mereka. Walau bagaimana keras ujian yang mereka terima namun, mereka tetap berpijak di atas bumi yang nyata. Tarekat mereka adalah kekhalifahan di bumi. Mereka beriman kepada akhirat dan perkara ghaib dan mereka juga beriman kepada perkara kehidupan harian di dalam dunia ini yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka menuju akhirat dengan menunggang dunia. Tidak ada di antara mereka yang lari daripada dunia lantaran cintakan Allah s.w.t dan akhirat. Mereka adalah kumpulan yang diperakui oleh Rasulullah s.a.w sebagai puak yang paling baik pernah wujud di atas muka bumi. Itulah puak yang menggabungkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, puak yang menjadikan dunia sebagai kebun akhirat. Mereka menyintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya tanpa membuang dunia dan akhirat. Mereka mendukung tarekat Islam iaitu mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan melakukan kehambaan kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar kehambaan serta melakukan amal salih dan bertakwa.
Mungkin tidak seorang pun yang datang kemudian telah mengalami zauk atau kefanaan yang dialami oleh Bilal sewaktu dijemur di panas terik dengan berpakaian baju besi dan ditindih batu besar di atas dadanya. Dalam kemuncak kefanaan dan zauk Bilal mengucapkan: “Ahad! Ahad! Ahad!” Suasana ketuhanan yang menguasai Bilal dan yang sedang disaksikan oleh mata hati Bilal menyebabkan terucap perkataan AHAD bukan “ana al-Haq!” Masih adakah umat kemudian yang semulia Bilal, juru azan Rasulullah s.a.w? Bukankah pada malam Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w mendengar bunyi terompah Bilal di dalam syurga. Kemuliaan dan ketinggian darjat Bilal masih tidak mengatasi darjat Abu Bakar as-Siddik, sedangkan Abu Bakar tidak melalui makam fana dan zauk. Beliau r.a sentiasa di dalam keadaan jaga. Zauknya adalah mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Kefanaan beliau r.a adalah wahyu. Kebaqaan beliau r.a adalah ubudiah. Begitu juga halnya dengan Umar, Usman dan Ali. Jalan yang ditempuh oleh para sahabat itu adalah jalan yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w dan jalan demikian diistilahkan sebagai jalan kenabian.