Asas Tareqat 5 (Pengertian Tawassul)
March 5, 2009
Chisytiyyah
March 5, 2009
Asas Tareqat 5 (Pengertian Tawassul)
March 5, 2009
Chisytiyyah
March 5, 2009

Usuluddin: Sebelum dan sesudah bertareqah

oleh Fakir Amal

Perlunya belajar Ilmu Usuluddin terlebih dahulu sebelum memperdalamkan ilmu Tariqat dan Ilmu Haqiqat kerana di khuatiri kita akan tersasul atau tersalah dalam I’tiqad kita. Kalau I’tiqad sudah sesat segala ibadat kita akan hancur sehancur-hancurnya. Bahaya inilah yang paling dibimbangi oleh Ulama sufi dahulu kala dan zaman sekarang dan banyak kita saksikan segala macam fitnah yang berlaku di kalangan orang yang kononnya ahli tariqat atau ahli makrifat atau ahli haqiqat atau ahli wushul atau ahli irfan dan segala macam nama yang muluk-muluk lagi mencetuskan kerosakan pada ilmu Tariqat itu sendiri.

Dalil Pertama:
Adapun dalil kepentingan mempelajari Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin khusus bagi mereka yang ingin memperdalamkan ilmu Tariqat dan ilmu haqiqat ialah :
Kata Syeikh Daud Al Fathani :

“Maka apa ‘kufur’ yang terlebih besar dari kufur ini? Dan apa fikah(pemahaman atau aliran pemikiran) daripada fikah ini yang membawa kepada zindiq dan mulhid.Maka sebab yang demikian kerana jahil ia akan hukum Ilmu Usuluddin dan jahil akan I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tiada kenal apa yang wajib bagi Allah dan apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Allah , maka segala ibadatnya (akan menjadi) debu yang berterbangan, kerana ibadat dan taat itu terhenti di atas sah I’tiqad iaitu sah iman dan Islam. Maka tiada sah sekelian ibadat dan taat maka dimana beroleh ia dapat ‘taraqqi’ daripada satu maqam kepada satu maqam ? Maka jika tiada ada taraqinya betapa dapat fana’ dan betapa dapat zauknya dan wajdan? Maka betapa ia dapat haqiqat maka jadi sekelian yang dikatakan ini DAKWA jua dan segala yang menyalahi yang keluar pada tangannya itu,j ika ada, dinamakan ‘istidraj’ jua maka tiada dinamakan karamah. Seperti kata Syeikh Muhammad Fadhlullah di dalam Tuhfatul Mursalah.

Dan setengah daripada pekerjaan yang mustahil pada aqal dan pada syara’ ialah sampai seseorang kepada maqam yang di namakan ‘Wahdatul Wujud’ orang yang tiada menjalani dengan syariat dan tariqat maka ia dapat haqiqat yang demikian itu adalah DUSTA dakwanya dan orang yang dakwa SYAITAN. Dan segala perkataannya itu tiada dapat zauk(Yang haq) dan hanya khabaran jua. Dan dimana ada boleh ia dapat zauq pada orang sesat di dalam ‘bahrun zindiq’ dan ikhwan syaithan’. Maka inilah yang ada banyak pada akhir zaman dinamakan DAJJAL seperti yang di sabdakan di dalam hadis nabi s.a.w. : “Tiada berdiri hari qiamat hingga keluar tiga puluh Dajjal dahulu”.Na’uzubillahi min dzalik”

Daripada Kata Syeikh Daud Al fathani ini dapatlah di simpulkan begini:

a.

Memahami Ilmu Haqiqat terutama Ilmu yang melibatkan pengalaman keruhanian iaini musyahadah, zauk, wajdan, mukasyafah dan membicarakan Ilmu usul tahqiq atau Usul Haq kesemuanya mestilah terlebih dahulu memahami dan memperteguhkan pemahaman Ilmu Usuluddin supaya I’tiqad kita selamat dan tidak tergelincir dari mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kalau belum mantap dan mahir dalam Ilmu Usuluddin tinggalkan dulu darihal membicarakan Ilmu Haqiqat apatah lagi memperdalaminya kerana dibimbangi salah fahaman yang di terimanya. Bila salah fahaman maka salah pula tindakannya. Bila salah tindakannya maka Bid’ah jadinya. Bila Bid’ah jadinya neraka datang menggaru.

b.

Kegelinciran dalam I’tiqad adalah sesuatu yang amat besar! Jika I’tiqad tidak sah atau diragui kebenarannya maka segala ibadat zahir mahupun batin akan hancur seperti debu yang berterbangan tiada nilai langsung! Cakapnya tinggal dakwaan saja atau pengakuan saja tetapi sebenarnya dia sebenarnya dusta samada dusta pada orang lain mahupun dirinya sendiri. Tak perlu lagi nak berbicara soal-soal yang hebat-hebat misalnya musyahadah, muqabalah, mukafahah, makrifat ,l aduni, Ahdiah, Lata’yin atau macam-macam istilah sufi yang muluk-muluk itu kerana ianya tak lebih pada khabar(cerita) saja.

Inilah mertabat ghurur(tipudaya) yang tidak disedari dari kalangan keruhanian yang menyangka diri mereka adalah sufi seperti yang diceritakan oleh Imam Al Ghazali dalam bab Al Kasyfu wat Tabyin fi Ghururil Khalqi Ajma’in dalam Ihya’ Ulumiddin bahawa dalam kelompok ketiga dari kalangan orang yang ingin bersufi itu bahawa:

“Mengaku mempunyai ilmu mukasyafah(ilmu yang tersingkap segala hijab) dan mampu musyahadah dengan Allah Ta’ala melampaui maqam-maqam sufi, wushul(telah sampai ke darjat makrifat) dan menetapi haqiqat penyaksian,wushul sampai dekat. Padahal mereka ini tidak pernah wushul kepada Allah Ta’ala kecuali hanya kata-kata lisan dan nama saja.” Dan kata Imam Al Ghazali lagi:”Mereka ini mengaku dirinya telah sampai kepada Allah Ta’ala dan tergolong orang-orang muqarrabin(orang yang hampir dengan Allah Ta’ala).Padahal di sisi Allah Ta’ala tak lebih dari pengkhianatyang mungkar dan munafik”.

Marilah kita memohon keampunan dan Rahmat dari Allah Ta’ala supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang di murkai Allah. Berlindung kita dengan Allah Ta’ala daripada segala kejahatan yang dijadikanNya.

c.

Tiada boleh sampai kepada mertabat haqiqat sebelum menjalani syariat dan tariqat mengikut yang di sepakati dalam sunnah perjalanan kaum sufi. Dan haram berguru kepada seseorang yang belum sempurna keempat-empat perkara iaini Syariat,Tariqat ,Haqiqat dan Makrifat mengikut segala adab dan kawaid kaum sufi.

d.

Untuk memahami I’tiqad yang benar itu semestinyalah mempelajari Ilmu Usuluddin bagi Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dibangsakan kepada Imam Abu Hassan Asy’ari dan Abu Mansur Maturidi sepertimana yang ditulis oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Pehin Dato Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz dalam buku Aqidah Ahlus Sunnah Waljamaah m/s 36 jilid 1 bahawa:

“Berkata Imam Tajuddin As Subki yang kembali ke rahmatullah pada tahun 771 hijrah dalam Syarah Aqidah Ibni Al Hajib : ‘Yang dimaksudkan dengan nama Ahlus Sunnah wal Jamaah pada masa sekarang(pada masanya) ialah pengikut-pengikut Al Imam Al Asy’ari yang mati tahun 324 hijrah dan pengikut-pengikut Al Imam Abu Mansur Al Maturidi yang kembali ke rahmatullah pada tahun 332 hijrah’ “.

Dalil Kedua:
Perlu dilihat dari sudut kepentingan Ilmu Usuluddin dan kedudukannya terlebih dahulu dan setelah jelas tentang kedudukannya maka nyatalah betapa perlunya ilmu ini dalam perjalanan atau suluk kita ke makrifatullah.

Adapun Ilmu Usuluddin ini adalah ilmu yang paling asas sekali, tanpanya seseorang itu tak akan mengenal Tuhannya. Dan bilamana Tak kenal bagaimana nak menyembahNya?

Lihat mabadi Ilmu Usuluddin. Bahawa kedudukannya adalah usul bagi agama dan segala ilmu yang lain berpunca dari ilmu ini! Dalam kitab Risalah Tauhid di sebut :

“Nisbahnya dengan ilmu yang lain ialah ilmu yang dibangsakan kepada agama Islam yang paling utama(pokok) sekali. Dan kelebihannya iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain. Dan juga kerana Ilmu Usuluddin(Ilmu Tauhid) ini jadi asal bagi segala ilmu-ilmu yang lain yang wajib diketahui dan lagi kerana mulia maudhu’nya(perbahasannya) iaitu Zat Tuhan dan Rasul. Dari itu jadilah ia semulia-mulia ilmu.”

Masakan kita kata Ilmu Usuluddin ni tak penting atau pun bolehkah kita memperkecilkan dia semata-mata kita sudah memperdalami Ilmu Haqiqat atau Ilmu Zauk? Sebenarnya tak faham ilmu haqiqat masih boleh dimaafkan tapi awas kalau tak faham atau tak belajar ilmu Usuluddin buruk padahnya!

Bahkan ada setengah kitab Usuluddin dalam membicarakan tentang mabadi(pembukaan atau sari kata) Ilmu ini seperti yang tercatit di dalam kitab Peta Aqidah Tauhid jilid pertama yang di susun oleh Imanuddin Yahya bagi Pasentren Islam Al Ansar Tanjung Pura Langkat bahawa:

“Bahawa tiada ditimbang amalan seseorang jika seseorang itu tiada mempelajari iaini jahil akan Ilmu Tauhid(Ilmu Usuluddin) ini”.

Faqir percaya semua bersetuju akan kepentingannya TERUTAMA bagi mereka yang nak terjun ke alam tariqat, haqiqat dan makrifat. Tiada alasan, soal tidak memadai dengan mempelajari Usuluddin tanpa memperkayakan dengan ilmu tariqat dan haqiqat itu persoalan kedua tetapi nak memperemehkan kepentingan Ilmu Usuluddin Faqir dalam apa keadaan sekalipun tidak bersetuju.

Faqir juga mengharapkan kita insya’allah lebih berhati-hati dalam persoalan membicarakan maratib ilmu(Tertib ilmu).

Jangan sampai kita memperemehkan atau memperbandingkan (mengikut fikiran nafsu samar kita) ilmu-Ilmu Islam sampai kadang kala terlancut perkataan ‘Ilmu hak tu tak sampai kemana’ atau ‘sekadar ilmu kulit sahaja’ dijauhkan Allah daripada kita bersikap demikian. Itu tanda kita jahil adab.

Sebenarnya semua ilmu tak kira asalkan ilmu itu dibenarkan syara sementelah ilmu yang dituntut syara maka wajib kita mencintainya nisbah melihat keindahan ciptaanNya.

Dalil Ketiga
Dalam Buku Ilmu Tasauf karangan Ulama Diraja Ustaz Muhamad Samman Khati yang di susun oleh Saudara Mokhtar Petah menjelaskan kepada kita bahawa wajib bagi orang yang ingin terjun ke dalam dunia keruhanian (Tariqat). Mesti mempelajari dan mahir dalam bidang Usuluddin supaya tidak sesat dalam perjalanannya kerana syaitan sentiasa berusaha merosak kan I’tiqad si salik supaya hancur segala amalannya.

Dalil Keempat
Dalam Kitab Sirrus Salikin bagi karangan Syeikh Abdus Samad Al Falimbani Jilid Ketiga ada menyatakan bahawa syarat untuk seseorang itu berbai’ah tariqat terlebih dahulu mursyidnya mengajar akan taubat dan ilmu fardhu ‘ain iaitu Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqah dan Ilmu Tasawuf maka barulah ia ditalkinkan dia akan tariqat.Apatah lagi bukan terus belajar haqiqat !!

Faqir menyambung kata Syeikh Daud Al Fathani bahawa:

“Betapa ia dapat Ilmu haqiqat padahal Ilmu Usul belum ia tahu dengan baik dan ilmu syariat yang zahir tiada dapat ia faham pada pekerjaan ibadat yang fardhu dan sunat dan sah dan batalnya istimewa pula ia mengetahui ilmu Tariqat. Maka takut diri tiada ada orang yang berkepercayaan pada agamanya pada Usuluddin , ilmu yang zahir lagi mudah maka apa pula kita percayakan dia pada ilmu haqiqat yang tiada sempurna kepadanyamelainkan dengan ‘suluk’ pada guru yang mursyid lagi yang washil ilallahi Ta’ala dengan zauk dan wajdan yang di dapatnya dengan syuhud dan a’yan dan tiada lagi berkehendak kepada dalil dan burhan”.

Kesan dan akibat jika Ilmu Usuluddin diabaikan atau tiada mahir dalam persediaan untuk menjalani Ilmu Tariqat dan ilmu Haqiqat.

a.

Dikhuatiri akan menyebabkan fahaman pegangan I’tiqad terkeluar dari mazhab yang diredhai iaitu mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara tidak disedari dan mengakibatkan terkeluar daripada kaedah sunnah kaum sufiah sepertimana dikatakan oleh Qutubul Ariffin Al Kabir Syeikh Abdul Aziz al Dabbagh r.a. dengan katanya :

“Tidak akan terbuka (dari selindung hijab) kepada seorang hamba melainkan jika ia berada dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak ada seorang wali Allah dari aqidah selainnya.”

Maka akan terjadilah penyelewengan yang menyeret orang lain kekancah zindiq akibat kecuaian ini. Justru itu lahirlah bermacam-macam fahaman yang pelik-pelik sesat lagi menyesatkan misalnya yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani dalam Kitab Sirrul Asrar dan Tuhfatur Raghibin bagi Syeikh Muhammad Arsyad yang menyatakan puak sesat dalam kaum yang ingin bersufi. Perkara-perkara salah I’tiqad ini adakalanya berhubung dengan ketuhanan adakalanya berhubung dengan kenabian adakalanya berhubung dengan sam’iyat iaini perkara-perkara ghaib yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w. contohnya

Berkaitan Ketuhanan:

i.

Mengi’tiqad Tuhan dan hamba bersatu.

ii.

Mengi’tiqad Allah Zat dan hamba sifatNya.

iii.

Mengi’tiqad diri adalah dari Nur Tuhan.

iv.

Mengi’tiqad dirinya Allah.

v.

Mengi’tiqad Allah bertempat dan berpihak.

iv.

dll yang seumpama dengannya yang bercanggah dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

.

Berkaitan kenabian:

i.

Mengi’tiqadkan ada nabi selepas nabi Muhammad.

ii.

Mengaku diri sudah jadi nabi atau dirinya diresapi ruh Nabi Muhammad.

iii.

Menafikan kenabian Muhammad zahir yang maklum dan menetapkan sebenar nabi adalah Muhammad awal saja iaini nur saja

iv.

Nabi melakukan dosa.

v.

mertabat wali mahsum macam nabi.

vi.

dll yang seumpama dengannya.

.

Berkaitan perkara² Sam’iyat:

i.

Akhirat sebenar tiada tapi akhirat sebenar di dunia ini.

ii.

Kiamat sebenar adalah kiamat diri dan kiamat alam sebenarnya tiada.

iii.

Mengaku Imam Mahdi atau jadi tentera-tenteranya dan cofirm jadi ahli syurga.

iv.

Neraka sebenarnya tiada Cuma ada pada istilah saja begitu jugalah syaitan ,syurga, loh, arasy dan sebagainya kesemuanya ujud dalam istilah saja tiada hakikatnya.

v.

dan lain-lain I’tiqad yang seumpama dengannya.

Kesemua di atas tadi adalah contoh-contoh I’tiqad yang sesat lagi menyesatkan yang tiada boleh di pegang dalam menjalani jalan tariqat .(boleh rujuk Risalah Tasawuf Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal sebagai panduan berhubung dengan I’tiqad yang sesat bagi yang nak bersufi).

b.

Tertipu di alam malakut iaini alam keruhanian

Bilamana tiada punya ilmu yang cukup terutama Ilmu Usuluddin(tak terkecuali Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf sekurang-kurangnya kadar fardhu ‘ain) maka syaitan dan jin(makhluk halus) akan mudah memperdayakan dan dah banyak terjadi. Apabila seseorang berada di alam ini segala macam tipudaya berkumpul di sini. Apa yang faqir di beritahu bahawa pokok persoalan tipudaya di alam ini ialah untuk merosakkan niat dan I’tiqad bagi orang yang menempuh di alam ini. Sebab itu di samping ilmu yang mencukupi bimbingan Syeikh Mursyid yang kamil mukamil amat penting di sini. Di alam malakut ini seseorang akan di buka sesuatu yang ajaib, indah(di sisi alam rendah) tapi penuh prasangka dan apabila prasangka sudah terkena maka title diri pun menjelmalah.

Mulalah dah mengaku sultanul Auliya, Wali Quthub, Wali abdal, Ghaus tak kurang juga versi nusantara panglima hitam, Panglima Berantai, Hang Tuah, Tuk janggut, Daeng Prani, Daeng Selili dan macam-macam lagi yang kadangkala menakutkan menggayatkan orang yang mendengarnya mungkin juga tak lama lagi timbul pulak Osama Ben Laden di alam malakut. Dijauhkan kita oleh Allah Ta’ala akan terkena sangkaan dan di lindungnya di atas jalan syariatNya.

Ada juga yang percaya pada tanasukh iaini ruh wali menyelap ke dalam tubuhnya ini juga suatu bahaya yang merosakkan iman dan Tauhid kita kepada Allah Ta’ala. Manakala kalau fasal mimpi saja bagi yang menempuh alam ini bertambun banyak asyik-asyik mimpi , kadangkala dah kerana terlalu ta’asub dengan mimpi semua kerja buat dan usahanya pasti tunggu mimpi kerana di sangka mimpi tu ilham.

Alam ini juga selalu terjadinya kasyaf kauni iaini tersingkap baginya rahsia sesuatu benda(taraf keduniaan) atau apa saja pandangan yang di nisbah kepada bathin termasuk dalam hal perubatan, menilik(scan), nampak atau berfirasat akan hati atau sifat orang lain yang kesemuanya ini masih bukan tujuan tariqat yang sebenar dan bilamana seseorang terhenti pada hal-hal ini maka syaitan telah berjaya memesongkan tujuan dan niatnya dan akhirnya segala macam keupayaan zikir-zikir atau wirid-wirid atau muraqabahnya dapat di gunakan secara halus atas maslahat diri(keduniaan) cuma versinya saja bertukar atau datang di bisik akan hati kecil bahawa aku sudah kasyaf, aku sudah boleh scan hati orang, aku sudah boleh bantu orang lain jadi mungkin Allah dah lantik aku menjadi waliNya sebab semua permintaan aku sudah dimakbul Allah. Maka ujub pun datang menyelinap dalam hati kecil kita tanpa disedari habis segala amalan kita hancur sehancurnya. Mohon kepada Allah Ta’ala akan taufiq dan hidayahNya. Mengapa kita suka pada title atau suka membuat pengakuan? Lihat bagaimana sikap baginda Rasulullah s.a.w. bila dalam satu riwayat bahawa Allah Ta’ala bertanya kepada semua Ulul Azmi:

Wahai Nuh siapa kamu? Aku najiyallah(yang di lepaskan oleh Allah), Wahai musa siapa kamu? Aku kalamullah. Wahai Isa siapa kamu? Aku ruhullah(Yang dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam perut Siti Mariam tanpa bapa) Wahai Ibrahim siapa kamu? Aku Khalilullah (Teman bagi Allah) dan bila di tanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. Wahai Muhammad siapa kamu ? maka jawab baginda s.a.w. Ana yatim( aku anak yatim tiada ibu dan ayah).

Baginda seorang nabi yang paling tinggi mertabatnya dan tiada yang paling atas mertabatnya di sisi Allah Ta’ala melainkan hanya baginda seorang tapi terlalu merendah diri jauh dari inginkan sebarang gelaran tapi kita baru boleh berzikir sikit baru boleh sholat sunnat terbuka di alam malakut saja dah terkejut dan terus mabuk dengan pengakuan demi pengakuan. Itu tandanya syaitan dah tipu kita supaya kita leka dengan sanjungan orang ,suka dengar pujian orang itulah suma’ah namanya iaini penyakit hati yang menyerang kita tanpa kita ketahui akibat cuai belajar ilmu tasawuf dan usuluddin.

Mudah saja kalau kita nak ukur diri kita sendiri caranya ialah bilamana kalau orang puji kita atau orang sayang kita atau orang angkat kita apa agaknya rasa hati kecil kita ? rasa syok dak, rasa bangga ke, rasa lega ke kalau ada berdegup rasa-rasa ini itu tanda jangan harap kita boleh terselamat di alam malakut ni kerana pengaruh dunia dan maslahat diri masih menebal atau menyorok di dalam sanubari kita. Sebab itu niat dan Tauhid mesti tepat , padu dan murni samada ilmunya , amalnya ataupun halnya.

Suatu masalah.
Nanti ada yang berhujjah pulak mengapa Syeikh Abdul Qadir Al Jilani mengaku dia nya sultanul Auliya dan kewaliannya amat tinggi sehingga dikatakan leher para wali di bawah kakinya? Soal Syeikh Abdul Qadir Jilani itu soal lain dan ada cerita lain dan tak boleh di anggap takabur. Soalnya apakah kita ni dah sama taraf dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani ke ?

Bagaimana ibadatnya, ilmu nya samada muamalahnya mahupun mukasyafahnya, mujahadahnya, wara’nya ukur lah dulu baru boleh pasti! Yang faqir risau air kaki Syeikh Abdul qadir jilani pun belum sama taraf dengan kita lagi apatah lagi nak di ukur dengan ilmunya, amalnya dan sebagainya.(maaf bahasa agak kesat) Maka berpijaklah bumi yang nyata. Akuilah kelemahan dan kedhaifan kita itu lebih baik untuk kita dari kita daripada mengaku benda yang kita sendiri tiada di beri ilmu tentangnya.

Ingatlah segala maqam yang di kejar, title, ilmu kiramah ibadat kita masih belum ada jaminan kita selamat di sisi Allah Ta’ala sedangkan Allah hanya menjamin orang yang benar-benar ikhlas terhadapNya. Dan sesungguhnya ikhlas itu rahsia Allah Ta’ala dan segala ibadat yang diterima Allah Ta’ala di akhirat nanti hanyalah ibadat yang ikhlas maka siapakah boleh mendakwa di sini (di dunia ini) bahawa dia sudah ikhlas? Sebab itulah orang yang mengaku itu dan ini seolah-olah telah ketahui amalannya sudah makbul apa benarkah dia? Gunakanlah aqal dan timbangan syara’ supaya kita tidak ta’asub buta ! Wallahu’alam.

Masalah kedua.
Timbul pula satu dakwaan bahawa berkawan dengan makhluk halus iaini jin atau khadam atau muakal ayat adalah satu kiramah juga. Ini adalah merupakan suatu ‘gejala’ atau tipudaya di alam malakut ini akibat daripada tak menguasai ilmu Usuluddin(darihal bab perkara-perkara yang menyalahi adat).

Bukannya semua di alam malakut ini boleh kita terima sewenang-wenangnya. Memang ada pendapat ulama berpendapat bersahabat dengan jin itu hukumnya harus TETAPI ada syarat-syaratnya dan bagi murid yang hendak dan sedang berjalan menuju makrifat dengan sebenar-benar makrifat kepada Allah Ta’ala maka HARAM dia bersahabat dengan jin walau apa jenis jin pun (walau kembarnya sekalipun) bahkan layan pun tak boleh kerana jin itu sendiri ada jazbahnya(tarikan) yang tersendiri yang mana jazbahnya itu amat bertentangan sekali dengan jazbah fillah (untuk makluman lanjut sila baca Buku Mengenal Diri dan Wali Allah karangan Ustaz Mustapha al Jiasi anak murid Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal Syeikh Mursyid Tariqat Ahmadiah dalam bab Keramat Khadam).

Ada juga yang berpendapat bahawa bersahabat dengan makhluk halus itu adalah suatu kiramah atau anugerah dari Allah. Pendapat ini tidak benar kata Syeikh Abdul Wahab Asy Sya’roni di dalam kitab Yawaqitu wal Jawahir yang dinukil dari kitab Tuhfatur Raghibin :

“Bahawa bersahabat dan bersekedudukan dengan jin itu sangat keji. Barangsiapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan jin daripada sekedudukan dengan ulama maka orang itu sangat jahil. Kerana yang ghalib atas jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasiq. maka orang yang beraqal berlari ia daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan dia(jin) seperti liar ia bersahabat dengan orang fasiq”.

Dan kata Syeikh Mahyuddin Ibnu Arabi dalam kitab Al Futuhat yang faqir nukil dari kitab Tuhfatur Raghibin iaitu :

“Adalah orang yang sekedudukan dengan jin itu tiada beroleh ilmu akan Allah kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat Nya”.

Dan di jelaskan lagi oleh kitab yang sama (Tuhfatur Raghibin) :

“Dan terkadang menyangka oleh yang sekedudukan dengan dia (jin) itu bahawa segala perkara yang dikhabarkan oleh jin daripada barang yang berlaku di dalam alam itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkanya itu adalah bathil. Dan hanya adalah yang kesudahan jin kepada manusia itu bahawa di beri tahu akan segala khasiat segala tumbuh-tumbuhan, dan khasiat batu dan kahsiat isim dan huruf maka iaitu dibilangkan daripada Ilmu Kimiya jua iaitu ilmu yang di cela syara’ “.

Ini menunjukkan dakwaan bersahabat atau bersekedudukan dengan jin (makhluk halus) sebagai karamah adalah suatu kesilapan besar! Sudahlah menjadi hijab dalam perjalanan makrifat kemudian di ajar pula ilmu-ilmu yang menyebabkan kita akan bertambah jauh dari Allah Ta’ala. Adakah ilmu ini (ilmu yang di ajar oleh jin atau makhluk halus) di panggil laduni, waridat, ilham atau mukasyafah? Pohon kita kepada Allah Ta’ala mudah-mudahan di simpangkan dari fahaman ini.!

Sebab itu biar kita di pimpin oleh Syeikh Mursyid yang arif lagi alim benar(alim syariat dan alim haqiqat) atau istilah lain ‘tahu benar’ barang yang haq dan bathil darihal alam malakut ini.

Ada juga mengkiaskan bagaimana Nabi Sulaiman a.s. boleh bersahabat dengan jin mengapa kita tak boleh? Ini adalah kias yang tidak kena pada tempatnya. Jangan samakan mukjizat dengan diri kita yang penuh dengan noda dan dosa. Itu adalah suatu kesilapan yang amat besar !

Para ambiya adalah ma’sum dan mereka di kurniakan mukjizat dengan bermacam-macam yang hanya Allah Ta’ala saja Yang Maha Mengetahui akan hikmahnya. Memadailah kita mengikut akan barang yang nyata dalam syariatNya jangan cuba untuk menyeluk lebih jauh tanpa bimbingan guru yang aribillah.

Jangan taasub dengan mazhab tariqat sahaja.
Di antara gejala ‘sempit fikiran’ dan perkara yang di larang ialah ta’asub pada wasilah atau mazhab tariqat. Pengertian taasub pada wasilah ialah bermaksud kasihnya terhadap tariqatnya sehingga membawa cedera pada Tauhid dan ubudiyyahnya. Sehingga ada yang mendakwa bahawa hanya tariqatnya saja yang paling top, paling hampir, paling berkesan bahkan di dakwanya tariqat merekalah yang paling suci dan tiada tariqat yang paling hebat kecuali tariqatnya saja.

Inilah akibatnya apabila penguasaan ilmu di abaikan sewaktu sebelum bertariqat atau mengabaikan proses menuntut ilmu dikala sesudah bertariqat. Pemahaman kepada mazhab jamaah tariqat yang sempit menyebabkan fitnah akan merobek di dalam perjalanan kita.

Kembalilah kepada asas ilmu Tasawuf yang menuntut kepada tawadhu’ dan kerendahan diri yang benar. Jangan adakalanya kita sebagai yang menjalani ilmu tariqat itu di satu masa terlalu merendah diri tetapi di satu masa pula terlalu taasub dan meninggi diri seolah-olah orang lain seperti ‘katak keredek’ yang tiada dapat apa-apa habuan rahmat Allah Ta’ala.

Janganlah kita anggap kasyaf yang ada pada kita (kononnya) sudah menyebabkan kita memandang rendah pada orang yang tiada bertariqat atau golongan awam kerana ketahuilah kasyaf yang semacam itulah yang akan membawa kita kepada bahaya ujub dan penyakit terkena sangka yang bathil. Apa yang faqir di ajar bahawa sifat orang kasyaf ini amat tawadhu lagi begitu menyembunyikan pandangan kasyafnya. Tidak di hebahkannya bahkan lagi tersingkap kasyaf maka lagi jahil dia sabit tenggelam dalam Kebesaran Allah Ta’ala.

Secara lazimnya ahli tariqat yang sempit fikiran dan ditimpa ta’asub buta merasakan kasyaf yang didapatnya itu sudah sampai pada kemuncaknya dan yang paling malang sekali di yakinkan bahawa kasyaf itu melebihi dari usul kaum sufi iaitu Al Quraan dan Sunnah.

Sehingga ada puak yang melampau dalam dapatan ruhani mereka sehinggakan seolah-olah mereka sudah sampai sebagaimana yang Rasulullah s.a.w. sampai. Alangkah malangnya dipohon lindung daripada Allah Ta’ala akan puak ini.

Sebenarnya ketahuilah bahawa Tariqat secara umumnya ialah jalan mengenal Allah Ta’ala atau jalan menuju kepada kehampiran(qurb) kepadaNya dengan mendapat redha dan kasihNya. Adapun Ulama sufi menjelaskan bahawa jalan menuju kepada Allah Ta’ala itu terlalu banyak dan ada yang mengibaratkan sebanyak bilangan nafas makhluk. Ini bermakna terlalu banyak dan tiada di hinggakan! Bayangkan betapa banyaknya jalan yang menyampai kepadaNya. Dan ada ulama mengatakan seumpama sebanyak jari jejari yang menghubung kepada satu titik pusat dan ini bermakna terlalu banyak tariq atau cara yang menyampai kepadaNya. Dan ada orang yang Allah Ta’ala sampaikan ke hadratNya tanpa melalui jalan mazhab tariqat (yang khusus) iaini tanpa syeikh. Mungkin saudara akan terkejut ! Memang benar kata faqir. Sebab itu faqir kata ilmu Allah Ta’ala Maha Luas bukan seluas fikiran kepala kita jadi jangan ta’asub buta pada wasilah!

Ini dinyatakan di dalam kitab Ad Durun Nafis yang Di karang oleh Syeikh Muhammad Nafis Bin Idris Al Banjari :

“Syahdan maqam inilah (iaini maqam Wahdatul af’al) yang mula-mula ia anugerahkan Allah Ta’ala kepada orang yang salik(yang belajar setingkat demi setingkat di bawah pengawasan Mursyid) atau kepada orang yang lainnya iaitu seperti orang yang majzub umpamanya dan erti orang yang majzub itu di ambil Allah Ta’ala dengan terkejut serta dirinya tahu akan mengenal ZatNya dan SifatNya dan asmaNya dan af’alNya daripada tiada mengerjakan ibadat dan tiada talqin daripada guru dan tiada ijazah masya’ih.”

Ini bermakna harus bagi Allah Ta’ala memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk di perkenalkan DiriNya dengan jalan majzub atas sifat Kehendak dan Pemurah dan PengasihNya. Sepertimana Firman Allah Ta’ala:

“Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki dan memberi hidayah siapa yang dikehendaki”.

Inilah yang dinamai sebagai ‘Kurnia’ iaitu sesuatu yang di dapat bukan dengan jalan ikhtiar tetapi atas kehendak dan pilihan Allah Ta’ala sendiri. Manakala jalan usaha untuk menujunya iaitu dengan ibadat amal dan bimbingan Guru di namai akan ‘anugerah’ Allah Ta’ala atas ikhtiarnya di dalam taat. Cumanya orang yang majzub itu khusus dan bukan umum dan bukan sunnah untuk di ikut secara lazim(biasa). Dan akhirnya orang yang majzub itu sendiri akan kembali menjadi salik.

Fahamilah ini betapa luasnya rahmat Allah Ta’ala dan apa yang penting supaya kita belajar dan terus belajar supaya tidak menjadi sempit fikiran dan dijauhkan Allah Ta’ala dari menjadi orang yang ta’asub buta.

Wallahu’alam.