Mengenali Wali-Wali Allah dan Karamah Mereka
April 26, 2009
Definisi Bid‘ah Mengikut Ahlul Sunnah wal Jamaah
April 26, 2009
Mengenali Wali-Wali Allah dan Karamah Mereka
April 26, 2009
Definisi Bid‘ah Mengikut Ahlul Sunnah wal Jamaah
April 26, 2009

Menjawab Salafi-Wahabi Memahami Bid‘ah
MEMAHAMI BID‘AH
Oleh
Sheikh Gibril Fouâd Haddâd

Setakat ini dua buah buku yang menjelaskan dengan terperinci berhubung dengan definisi

‘Bid‘ah, iaitu oleh Abdul Hayy al-Lucknawi dengan kitabnya Tuhfatul Akhyar yang disyarahkan oleh muridnya, Shaykh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Sebuah lagi ialah buku oleh Syed Abdullah Mahfuz al-Haddad bertajuk al-Sunnah wa al-Bid‘ah di mana beliau

memuatkan lebih dari tiga ratus lima puluh hadith-hadith Rasulullah dan athar para Sahabat—moga-moga Allah merahmati mereka semua—bagi menangkis tulisan penulis “Salafi” Muhammad al-Shuqayri dan bukunya al-Sunan wa al-Mubtada’at.

Al-Shuqayri jelas sekali melahirkan sikap fanatik membuta tuli dalam bukunya dan menghentam para ulama’ Mazhab sebagai pengamal bid‘ah hanya berdasarkan salahfaham beliau terhadap hadith Rasulullah :

Setiap yang baharu (kullu muhdathatin) adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah itu sesat (dalalah), dan setiap yang sesat itu ke Neraka .1

Al-Shuqayri tersalahfaham hadith di atas dan turut mengenepikan hadith Rasulullah berhubung dengan perbezaan pendapat di kalangan para ‘ulama’:

Jika seseorang hakim itu berijtihad dan tepat ijtihadnya, maka beliau memperolehi dua pahala; manakala hakim yang berijtihad namun tersasar, maka beliau memperolehi satu  pahala. 2

Hampir seluruh ulama’, termasuk Ibn Taymiyyah memahami hakikat hadith di atas dari segi ganjaran pahala terhadap para mujtahid atas hasil keputusan ijtihad mereka yang diasaskan melalui prinsip Sunnah. Malah turut menganggap hasil ijtihad itu merupakan sebahagian dari Shari‘ah. Ianya berbeza dengan dakwaan golongan “Salafi” hari ini yang berpendapat bahawa hasil ijtihad para mujtahid merupakan suatu bid‘ah dalam agama.

Syed ‘Ali bin Muhammad Ba ‘Alawi menyebut dalam Pengenalan buku al-Sunnah wa al- Bid‘ah oleh al-Haddad dengan katanya:

Semua para Imam adalah benar pada jalan mereka dan mendapat ganjaran di sisi Allah atas ijtihad mereka setelah berusaha gigih mencari kebenaran… adapun orang-orang seperti [Muhammad al-Shuqayri] pengarang, al-Sunan wa al-Mubtada’at, ilmu mereka hanya terhad kepada hadith Rasulullah , “setiap yang baharu itu bid‘ah,” dengan membuang semua hadith-hadith Baginda yang lain, yang menjelaskan perolehan kebaikan dan menyediakan hukum berhubung semua perkara baharu…Adapun apa yang dimaksudkan dengan hadith “setiap perkara yang baharu itu bid‘ah” adalah perkara baharu yang bertentangan dengan dalil-dalil Shari‘at. Hanya itu dan itu sahaja perkara baharu yang menyesatkan.3

Syed Ali dan Syed Abdullah seterusnya menyebut beberapa ayat-ayat al-Qur’an sebagai bukti dari segi bahasa bahawa apa yang dimaksudkan dengan kalimat ‘kull’ (setiap/semua) itu tidak bermaksud ‘terangkum-semua’ (all-inclusive). Sebaliknya setiap ayat itu membenarkan pengecualian. Malah dari segi bahasa, kalimat ‘kull’ di dalam bahasa Arab itu boleh membawa maksud “hampir keseluruhan” atau “kebanyakan” dan bukan semestinya bermaksud “semua tanpa pengecualian”.

Sebagai contoh:

• “Kami bukakan kepada mereka pintu segala (kull) perkara” (6:44) (Pengecualian: pintu Rahmat tidak dibuka);

• “Semua (kull) akan dibinasakan kerana perintah Tuhannya” (46:25)

(Pengecualian: rumah kediaman, bukit bukau, langit dan bumi tidak dibinasakan);

• “Dan beliau telah diberikan ganjaran (yang banyak) akan segala (kull)perkara” (27:23)

(Pengecualian: singgahsana Nabi Sulaiman a.s.)

• “Dan setiap insan itu tidak memperolehi melainkan apa yang beliau usahakan”

(53:39)

(Pengecualian: di sana ada dalil-dalil yang sampai tahap tawatur ma’nawi di mana seseorang Islam itu mendapat manfaat dari amal orang lain, termasuk saudara maranya, doa para malaikat sepertimana bukti yang dikumpulkan oleh Ibn Taimiyyah melebihi dua puluh dalil yang kemudiannya dipetik oleh al-Jamal dalam Syarahnya terhadap Tafsir al-Jalalain berhubung ayat ini);

• “Manusia (al-nas) telah berkata kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia

(al-nas) telah berkumpul menentangmu” (3:173)

(Pengecualian: dalam dua-dua keadaan ‘manusia’ (al-nas) hanya merujuk kepada sekelompok manusia tertentu tanpa melibatkan keseluruhan manusia);

• “Sesungguhnya kamu (penyembah berhala) dan ‘apa’ (ma) yang kamu sembah selain dari Allah adalah bahan bakaran api Neraka” (21:98) (Pengecualian: namun Nabi ‘Isa a.s., ibunya dan para malaikat walaupun mereka turut disembah

selain Allah, bukanlah termasuk dalam ayat ini).

• “Dan berbincang dengan mereka dalam urusan” (3:159).

(Pengecualian: Ibn ‘Abbas menyebut: “Iaitu sebahagian dari urusan”4 kerana Rasulullah tidak berbincang dengan mereka dalam hal-ehwal hukum-hakam dan dalam menjatuhkan hukuman.

• “Dan setiap (kull) diri akan diberikan ganjaran mengikut apa yang ia usahakan” (20:15).

(Pengecualian: “setiap diri” di sini adalah diri yang tidak mendapat keampunan Allah, adapun yang mendapat keampunan Allah terkecuali dari ungkapan menyeluruh ini).

Kaedah yang digunapakai oleh para ulama’ Usul dalam memutuskan hukum sesuatu kalimah bahasa seperti di atas ialah:

al-umum bi ma‘na al-khusus

“Keumuman (yang dinyatakan) membawa maksud yang khusus”

Contoh hadith-hadith di bawah menjelaskan lagi kaedah di atas:

• Rasulullah telah mengutuskan seketumbukan tentera di bawah pimpinan seorang panglima dari kalangan Sahabat, dan menasihati mereka agar mematuhi perintah panglima tersebut. Dalam perjalanan, panglima itu telah naik berang terhadap mereka lalu menyalakan api dan memerintahkan mereka semua masuk ke dalamnya. Mereka enggan seraya berkata: “Kami lari menyelamatkan diri dari api dan menuju Rasulullah (fararna ila Rasulillahi min al-nar)!” Apabila Baginda mendengar akan berita itu, Baginda bersabda: “andaikata mereka masuk ke dalamnya (api), nescaya mereka tidak akan keluar sehingga Hari Qiamat. Ketaatan hanyalah dalam perkara kebaikan.”5

• Begitu juga dengan ayat al-Qur’an: “Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan pemimpin (ulil amr) di kalangan kamu”(4:59).

Walaupun ianya diungkapkan membawa gambaran ‘mutlak’ (absolute) namun dari segi makna sebenarnya tidak sedemikian kerana ‘mutlak’ itu hanyalah ketaatan terhadap Allah dan RasulNya sahaja, manakala terhadap pemimpin (ulil amr) pula hanyalah ‘ketaatan bersyarat’ berdasarkan hadith Baginda : “Tiada ketaatan terhadap makhluk dalam perkara maksiat terhadap Allah.”6

• Rasulullah bersabda: “Setiap manusia akan dimamah bumi kecuali tulang sulbi

(‘ajbal-dhanab).”7

Ibn ‘Abdul Barr menyebut bahawa: “Ungkapan hadith ini secara umumnya seolah-olah memberi gambaran bahawa semua manusia tanpa terkecuali, namun di sana ada hadith lain yang menyebut bahawa jasad para Nabi dan para Syuhada’ tidak dimamah bumi”.8

• Rasulullah melarang pemulauan (al-hajr) seorang Islam dengan Islam yang lain selama lebih dari tiga hari.9

Namun, beliau memerintahkan orang-orang Islam memulau tiga orang Sahabat yang tidak ikut serta dalam Peperangan Tabuk, dan pemulauan ini berlangsung selama lima puluh hari sepertimana yang diriwayatkan oleh Ka‘ab bin Malik al-Ansari – salah seorang dari tiga Sahabat itu– di dalam Sahih Bukhari.10

Oleh itu hadith yang melarang pemulauan itu tadi mengandungi tafsiran yang khusus.

• Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya, biji hitam ini (al-habbatul sauda’) adalah ubat bagi segala (kull) penyakit kecuali mati”.11

Sepakat para mufassir menegaskan bahawa kalimah ‘umum’ yang digunakan dalam hadith ini merujuk kepada sesuatu yang ‘khusus’. Maksud hadith ini sebenarnya ialah ‘banyak’ penyakit boleh disembuh dengan habbatul sauda’, walaupun kalimah ‘umum’ (segala) digunakan.

• Rasulullah bersabda: “Tiada sesiapa yang sembahyang sebelum matahari terbit dan sebelum matahari jatuh masuk Neraka”12

Hadith ini juga diungkapkan dengan kalimah umum merangkumi semua, walaupun maksud sebenarnya bukan sedemikian kerana ianya tidak termasuk orang yang meninggalkan Sembahyang Zuhur, Maghrib, dan ‘Isha’. Ibn Hajar mengesahkan kaedah al-Tibi bahawa hadith Sahih yang lain yang relevan dengan hadith ini perlu diambilkira dan dianggap sebagai satu hadith, dengan itu apa yang umum dapat dikhususkan (yuhmalu mutlaquha ‘ala muqayyaduha) agar amalan itu tepat selaras dengan mafhum hadith secara keseluruhannya.13

Berikut pula adalah beberapa peristiwa di mana para S{ahabat melakukan ‘perkara baharu’ berasaskan ijtihad masing-masing berpandukan prinsip-prinsip Sunnah:14

• Rasulullah bersabda kepada Bilal – moga-moga Allah merahmatinya—padaketika waktu Sembahyang Subuh: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan Islam engkau yang manakah yang paling engkau harapkan ganjarannya, kerana sesungguhnya aku telah mendengar bunyi tapak kasutmu di dalam Syurga.” Beliau menjawab: “Aku tidak melakukan apa-apa yang lebihku harapkan ganjarannya melainkan aku tidak pernah mengambil air sembahyang samada siang atau malam melainkan aku lakukan sembahyang apa yang patut aku sembahyang”,15

 dalam riwayat yang lain Bilal berkata: “Aku tidak pernah melaungkan Azan melainkan aku kerjakan sembahyang dua rakaat selepas itu, dan tidak batal air sembahyangku melainkan aku mengambilnya kembali dan mengerjakan sembahyang dua rakaat selepas itu apa yang aku berhutang dengan Allah, ” mendengar itu Rasulullah bersabda “bihima”, maksudnya “dengan dua amalan itu [kamu masuk Syurga].”16

Ibn Hajar seterusnya berkata: “Hadith ini mengesahkan bahawa ijtihad dibenarkan dalam penetapan ‘masa’ bagi melakukan sesuatu amalan ibadat”.17

• Peristiwa yang seakan sama turut terjadi kepada Sahabat bernama Khubayb ibn Isaf atau Yasaf al-Ansari – moga-moga Allah merahmatinya – yang ditangkap oleh orang kafir Quraisy. Beliau meminta untuk mendirikan sembahyang dua rakaat sebelum beliau dibunuh, seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, mogamoga Allah merahmatinya. Abu Hurairah meriwayatkan sepertimana ditemui di dua tempat di dalam Sahih Bukhari dengan berkata: “Khubayb adalah orang pertama yang memulakan (sanna) mengerjakan dua rakaat Solat bagi setiap orang Islam yang akan dibunuh oleh musuhnya.”

Kaedah umum dalam amalan beribadat, khususnya sembahyang, ialah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah “al-salatu khayru mawdu’in fa aqlil minha aw istakthir” “Sembahyang itu sebaik-baik perkara, oleh itu sembahyanglah samada sedikit atau [jika mampu] banyak”18

Walaupun hadith ini Dha‘if, namun ianya dipersetujui oleh sekalian fuqaha’ Ahlu Sunnah wal Jama‘ah bahawa amalan ibadat fizikal (‘ibadat al-badan) yang  terbaik adalah sembahyang, berasaskan dalil dari perintah Allah “Ruku’ dan sujudlah kamu dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan” (22:77), dan juga hadith Rasulullah: “Ketahuilah olehmu amalan kamu yang terbaik ialah sembahyang.”19

• Begitu juga seorang Sahabat, Rifa’a ibn Rafi’ al-Zurqi, ‘mereka’ doa ketika Rasulullah mengimami Sembahyang Maghrib. Ketika Rasulullah berkata [sebaik bangkit dari ruku’]: “Moga Allah mendengar orang yang memujinya!” Rifa’a menyambung: “Tuhan kami! Segala puji bagi Mu, melimpah ruah, agung, dan penuh keberkatan!” Kemudian Baginda bertanya siapakah yang telah berkata

sedemikian kerana para Malaikat telah berebut-rebut berlumba ingin menjadi yang pertama menulisnya.20

Ibn Hajar berkata: “Dari hadith ini boleh dirumuskan ‘kebenaran mencipta’ (jawaz ihdath) doa di dalam sembahyang selain daripada apa yang diterima dari Rasulullah selama mana ianya tidak bercanggah dengan apa yang diterima dari Rasulullah .”21

• Insiden yang hampir sama turut berlaku kepada seorang Sahabat yang datang lambat ketika memasuki saf sembahyang dan memulakan sembahyang dengan perkataan: “Allahu akbaru kabiran wa al-hamdu lillahi kathiran wa Subhanallahi bukratan wa as  ila” Maksudnya: Allah itu Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha Suci Engkau Ya Allah pagi dan petang” Selepas sembahyang Rasulullah bertanya siapakah yang berkata sedemikian. Seorang sahabat mengaku dan berkata: “Wahai Rasulullah! Tidak aku lakukan itu melainkan berniat baik belaka”. Rasulullah bersabda: “Aku melihat pintu-pintu langit terbuka dengan kerana kalimat itu.” Ibn ‘Umar seterusnya menyambung:

“Aku tidak pernah berhenti dari menyebutnya sejak itu selepas mendengar sabda Rasulullah itu”.22

Di sana ada banyak ayat-ayat dan hadith-hadith lain yang menjelaskan prinsip-prinsip sama seperti di atas. Ianya jelas sekali merupakan satu kejahilan yang amat sangat terhadap asas-asas prinsip Shari‘at dan ilmu Islam – suatu pendekatan yang menyalahi amalan Salaf dan Khalaf di kalangan Ahlul Sunnah wal Jama‘ah – bagi mereka yang mentafsirkan:

“Setiap yang baharu itu Bid‘ah” dalam makna yang mutlak tanpa merujuk kepada hukum Shari‘at yang sudah termaktub dalam setiap kes-kes tersebut.

Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata tentang hadith “Setiap yang baharu itu Bid‘ah”:

Ini adalah kaedah umum yang membawa maksud khusus (‘ammun maksus). Apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang baharu’ adalah yang bertentangan dengan Shari‘at. Itu dan itu sahaja yang dimaksudkan dengan Bid‘ah”.23

Begitu juga Abu Bakar ibn al-‘Arabi di dalam Syarahnya berhubung dengan hadith dalam al-Tirmidhi: “iyyakum wa muhdathat al-umur” iaitu “berhati-hati kamu dengan perkara baharu”. Beliau berkata: “Ketahuilah – moga-moga Allah mengajarmu! – bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara baharu’ itu ada dua jenis:

(1) pertama yang tidak mempunyai asas dan mengikut hawa nafsu, yang semestinya ini tidak sah; (2) atau perkara baharu yang selari dengan prinsip yang sudah ada, iaitu Sunnah para Khulafa’ dan para Imam-imam besar. ‘Perkara baharu’ (muhdath) dan ‘bid‘ah’ bukanlah istilah yang semestinya terkandung di dalamnya makna keji dan dibenci kerana Allah sendiri berfirman”:

Tidaklah datang kepada mereka itu peringatan yang baharu (dhikrun muhdath) dari Tuhan mereka melainkan mereka mendengarnya sambil mengejeknya (21:2)

Saiyyidina ‘Umar – moga-moga Allah merahmatinya – sendiri pernah menyebut: “Alangkah cantiknya bid‘ah ini!”24

 Bid‘ah yang dikeji hanyalah yang bertentangan dengan Sunnah, dan inilah sahaja ‘perkara baharu’ yang membawa kepada kesesatan.25

*************************************************************************

1 Diriwayatkan dari Jabir oleh al-Nasa’i dengan sanad Hasan dan dari Ibn Mas’ud oleh Ibn Majah dengan sanad Dha’if. Hadith ini Sahih mengikut Muslim berdasarkan riwayat dari Jabir dengan ungkapan: “Setiap yang baharu itu bid‘ah dan setiap yang bid‘ah itu sesat” tanpa menyebutkan ‘ke Neraka’. Ibn Taymiyyah di dalam Minhaj al-Usul dalam Majmu’ al-Fatawanya (hal. 19:191) menyebut bahawa ungkapan “setiap yang sesat itu ke Neraka” tidak Sahih daripada Rasulullah . Lihat juga pelbagai riwayat sepertimana yang dinakalkan oleh Shaykh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan pengesahan beliau dalam lampiran kitab Tuhfatul Abrar oleh al-Lucknawi (hal. 139-144) terhadap kenyataan Ibn Taymiyyah itu.

2 Diriwayatkan dari ‘Amr ibn al-‘As dan Abu Hurairah oleh Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al- Nasa’i, Ibn Majah, dan Imam Ahmad.

3 Al-Haddad, al-Sunnah wa al-Bid‘ah (hal. 5-6).

4 Diriwayatkan dari Sa’id ibn Mansur, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, dan Ibn al-Mundhir dengan sanad Hasan sepertimana disahkan bagi ayat ini oleh al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur.

5 Diriwayatkan dari Ali oleh Imam Bukhari dan Muslim

6 Diriwayatkan dari ‘Ali, Ibn Mas’ud, dan ‘Imran ibn Husayn oleh Ahmad di dalam Musnadnya dengan

sanad Sahih.

7 Diriwayatkan dari Abu Hurairah oleh Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Nasa’i, Ibn Majah, Ahmad, dan

Imam Malik di dalam al-Muwatta’.

8 Ibn ‘Abdul Barr, al-Tamhid (18:173). Lihat Lampiran 25, “Para Nabi di Alam Barzakh” (hal. 455).

9 Diriwayatkan daripada Anas oleh Bukhari, al-Tirmidhi, Malik, Abu Dawud, dan al-Nasa’i.

10 Terjemahan hadith ini boleh didapati dalam Encyclopedia Shaykh Hisham Kabbani dalam bab senarai

hadith-hadith para Sahabat ‘mencium tangan Rasulullah ’

11 Diriwayatkan daripada ‘A’isha dan Abu Hurairah oleh Bukhari, Muslim, al-Tirmidhi, Ibn Majah, dan Ahmad melalui sembilan belas periwayatan. Al-Zuhri menyebut: “Bijiran hitam itu ialah ‘jintan hitam’ (alshuniz).” Ianya juga dinamakan ‘jintan India’ dan pelbagai nama-nama lain.

12 Diriwayatkan daripada ‘Amara ibn Ru’ayba al-Thaqafi oleh Muslim, al-Nasa’i, Abu Dawud, dan Ahmad

13 Fath al-Bari (cetakan 1959. 11:271 #6080).

14 [Kita menyedari antara hujah balas golongan yang menolak dalil dari peristiwa di bawah ini, akan beralasan bahawa pada ketika para Sahabat (r.anhum ajmain) melakukan amalan-amalan yang disebutkan ini, Rasulullah masih hidup pada masa itu dan boleh membetulkan, samada membenar atau melarang perlakuan sedemikian. Namun perlu kita ingat bahawa ‘semangat’ atau kecenderungan mengadakan ‘perkara baharu’ yang tidak diajarkan Rasulullah itu ternyata wujud di kalangan Sahabat dan mereka tidak merasakan itu suatu kesalahan. Malah Rasulullah sendiri tidak pula melarang Sahabat dari melakukan ‘perkara baharu’ itu, walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak pernah mengajarkannya atau melakukannya, dengan syarat perlakuan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran yang dibawanya, dan berasaskan prinsip umum Shari‘at.~ Penterjemah].

15 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh Bukhari, Muslim, dan Ahmad.

16 Diriwayatkan daripada Buraydah al-Aslami oleh al-Tirmidhi sebagai hadith Hasan Sahih Gharib. Al- Hakim mengesahkan ianya Sahih dan turut dipersetujui oleh al-Dhahabi .

17 Fath al-Bari (cetakan 1959, 3:63 #1098). (Pentj: Kritikan bahawa penetapan masa untuk sesuatu amalan

ibadat tertentu tidak dibenarkan hanya kerana ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah jelas sekali tidak berasas. Contohnya seperti membaca Surah Yasin di malam Jumaat dan lain-lain).

18 ‘Al-salatu khayrun mawdu’un’. Diriwayatkan daripada Abu Dharr oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dengan tiga periwayatan yang Dha’if, walaupun al-Zayn mengisytiharkan salah satunya baik (16:259 #22189), oleh al-Quda’i dalam Musnad al-Shihab (1:378 #651), al-Hakim yang menilainya Sahih tetapi al-Dhahabi melihat sanad ini mengandungi Yahya ibn Sa’id Abu Zakariyya al-Sa’di al-Basri, seorang yang lemah sepertimana disebut oleh Ibn ‘Adi di dalam al-Kamil fi al-Du’afa’ (7:244 #2142), oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan, sebagai sebahagian dari hadith yang panjang, oleh Abu Nu’aym di dalam al-Hilya dan Ibn Hibban di dalam Sahihnya dengan sanad yang lemah sepertimana disebut oleh al-Arna’ut (2:76 #361); juga diriwayatkan daripada Abu Hurayra oleh al-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad yang lemah sepertimana disebut oleh al-Haythami, dan daripada Abu Umamah oleh Ahmad and al-Tabarani di dalam al-Kabir (8:217 #7871) dengan sanad lemah sepertimana disebut oleh al-Haythami dalam Majma’ al-Zawa’id (1:159). Ibn Hajar menyebut kelemahannya dalam Talkhis al-Habir (1964 ed. 2:21 #542) dan Fath al-Bari (cetakan 1959, 2:480 #946).

19 Diriwayatkan melalui hadith yang panjang daripada Thawban dengan sanad yang Sahih oleh Ibn Majah

dan Ahmad. Imam Malik turut menyebutnya di dalam Muwatta’ beliau.

20 Diriwayatkan daripada Rifa’a oleh Bukhari, al-Nasa’i, Ahmad, dan Malik.

21 Fath al-Bari (cetakan 1959. 2:287 #766).

22 Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar oleh Muslim, al-Tirmidhi (Hasan Sahih Gharib), al-Nasa’i melalui dua periwayatan, dan Ahmad dengan beberapa sanad dalam Musnadnya. Salah satu dari versi al-Nasa’i’ ialah:

“Aku melihat dua belas malaikat berebut untuk itu,” manakala dua daripada versi Ahmad pula ialah: ” Aku

melihat ucapanmu naik ke langit sehingga pintu dibuka dan masuk mereka ke dalamnya”

23 Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim (cetakan 1972. 6:154).

24 Diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman ibn ‘Abd al-Qari oleh Bukhari, dan Imam Malik di dalam Muwatta’ nya

25 Ibn al-‘Arabi, ‘Arida al-Ahwadhi, Kitab Ilmu, Bab “Berkenaan dengan mengikuti Sunnah dan meninggalkan Bid‘ah” (Ma ja’a fi al-akhdhi bi al-Sunna wa ijtinab al-Bid‘ah).